HLB & Alif Satar Meriahkan Raya dengan ‘Senyum-Senyum Raya’

Menjelang ketibaan Syawal, Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (HLB) menghidupkan semangat kemeriahan Aidilfitri dengan kempen khas bertemakan ‘Amalan’. Lebih daripada sekadar sambutan, kempen ini menitikberatkan kepentingan amalan baik, termasuk pengurusan kewangan yang bijak, sebagai sumber kegembiraan dan kesyukuran.
Sebagai daya penarik utama kempen ini, HLB mempersembahkan lagu dan video muzik Raya bertajuk Senyum-Senyum Raya, yang menampilkan duta rasmi bank tersebut, Alif Satar & The Locos. Lagu ini merupakan hasil ciptaan Yusuff Khan, Adam Armin, Adly Kiddy dan Ja’a, dan membawa mesej positif tentang kebahagiaan yang terbit daripada rasa syukur serta pengurusan kewangan yang bertanggungjawab.
Dalam satu sidang media yang berlangsung di Sofitel KL, Damansara pada 20 Mac lalu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam, menggariskan komitmen bank dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang diperibadikan untuk membantu pelanggan mengurus kewangan dengan lebih baik.
“Kami berhasrat memperluaskan penyelesaian kewangan yang bersesuaian dengan keperluan pelanggan. Dalam aspek ini, Hong Leong Islamic Bank memainkan peranan penting dengan menawarkan produk perbankan patuh Syariah yang dapat membantu pelanggan menguruskan kewangan mereka dengan lebih bertanggungjawab,” katanya.
Beliau juga menekankan kepentingan program duta dalam meningkatkan kesedaran mengenai celik kewangan, menyatakan bahawa usaha ini akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi HLB, Zalman Zainal, menjelaskan bahawa lagu Senyum-Senyum Raya bukan sekadar hiburan tetapi merupakan sebahagian daripada pendekatan inovatif bank untuk mendekati masyarakat.
“Kami mahu membawakan sesuatu yang unik tahun ini, dengan menampilkan konsep ‘amalan’ sebagai tunjang utama mesej kempen ini. Hari Raya adalah masa untuk meraikan kejayaan dan menikmati hasil amalan baik, dan kami berharap lagu ini dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk memupuk amalan kewangan yang mampan,” jelasnya.
Bagi Alif Satar, duta HLB sejak tiga tahun lalu, projek ini amat dekat di hatinya kerana ia mengangkat nilai kekeluargaan dan amalan positif.
“Saya sangat teruja apabila pertama kali mendengar demo lagu ini. Ia membawa vibe yang positif dan penuh keceriaan, sesuai dengan suasana Aidilfitri. Lebih daripada itu, lagu ini juga menggalakkan amalan yang baik, yang menjadikan sambutan Raya lebih bermakna,” kata Alif.

Sebagai sebahagian daripada usaha menyebarkan kebaikan, HLB bekerjasama dengan foodpanda dalam satu program khas pengagihan makanan kepada penghantar makanan (‘rider’). Melalui inisiatif ini, sebanyak 1,000 penghantar foodpanda telah menerima makanan, manakala lebih 300 penghantar di Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Perak telah diraikan dalam satu majlis berbuka puasa khas.
Selain itu, HLB juga aktif dalam pelbagai kempen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), termasuk sumbangan pek makanan dan aktiviti gotong-royong di rumah kebajikan seluruh negara. Baru-baru ini, sumbangan kakitangan HLB telah melebihi RM100,000 dalam bentuk pek makanan dan keperluan harian kepada rumah-rumah kebajikan.

Lagu Senyum-Senyum Raya telah dilancarkan secara rasmi pada 14 Mac 2025 dan boleh didengarkan di semua platform muzik digital. Video muzik rasmi pula boleh ditonton di saluran YouTube Hong Leong Bank sejak 17 Mac 2025.
Dengan kempen ini, HLB bukan sahaja meraikan Aidilfitri dengan keceriaan, tetapi juga menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengamalkan pengurusan kewangan yang lebih baik demi kehidupan yang lebih sejahtera. Jadi, sambil beraya, jangan lupa untuk senyum-senyum dan bersyukur atas segala nikmat yang dikecapi.