Herriot Gegar Bangkok Bersama Dark Tranquillity

Band metal dari Malaysia, Herriot, membuka tirai tahun 2025 dengan penuh bergaya apabila menjadi satu-satunya wakil dari Asia Tenggara yang membuka persembahan untuk tour Endtime Signals oleh kumpulan legenda melodi death metal dari Sweden, Dark Tranquillity, di Bangkok pada 2 Mac lalu.
Tour stop di Bangkok turut menampilkan barisan band antarabangsa yang mengagumkan seperti Conan (sludge/doom metal, UK), Ethereal Sin (melodic black metal, Jepun), dan Gotsu Totsu Kotsu (death/thrash metal, Jepun). Dalam senarai nama besar tersebut, kehadiran Herriot sebagai wakil tunggal dari Malaysia menjadi pencapaian besar buat band ini.
Bagi Herriot, peluang ini merupakan persembahan pentas terbesar mereka setakat ini pada tahun 2025. Vokalis dan penulis lirik utama band, Chen, turut berkongsi catatan peribadi dalam bentuk show diary yang diterbitkan oleh portal Dissecting the Euphony, mengupas pengalaman mereka serta harapan untuk masa depan.

“Herriot dah lama sangat tak main show secara serius. Kami ni band yang mencari keseronokan. Kami mencari kepuasan diri. Kriteria utama band ini adalah ‘we do what we want, our way’. Jadi, bila mendapat satu peluang yang truly a dream come true, aku memang takut,” tulis Chen dalam coretan tersebut.
Coretan penuh yang memberikan gambaran lebih mendalam tentang perjalanan mereka di Bangkok boleh dibaca di sini: Show Diary – Herriot Live in Bangkok 2025.
Selepas kejayaan mereka di Thailand, Herriot dijadualkan untuk menjadi headliner dalam acara Fourth Ceremony di Ipoh pada 12 April ini. Selain itu, mereka juga sedang menyelesaikan rakaman album terbaru berjudul Black Day Massacre, serta dalam pertimbangan untuk satu lagi persembahan pentas yang masih belum dimuktamadkan.
Tahun 2025 dilihat sebagai tahun kebangkitan semula buat Herriot, dengan momentum yang semakin kukuh dan hala tuju yang jelas dalam meneruskan legasi mereka dalam dunia muzik keras tanah air dan serantau.