October 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Here Comes Sun Eater’ Lahirkan Muzik Harmoni Malaysia dan Indonesia

Spread the love

Oleh: Heyawaha / Zizi Hashim

Seperti yang telah diantisipasikan, konsert pada malam 10 Disember itu telah mempersembahkan aksi prominen luar biasa hasil kombinasi band-band dari Indonesia seperti Hindia, .Feast dan Mantra Vutura, seiringan dengan band dari Malaysia, Midnight Fusic. Tidak dapat dinafikan, para audiens hadir memenuhi seluruh ruang Zepp KL untuk benar-benar larut menjiwai malam bersama-sama.

“Here Comes the Sun Eater” (HCTSE) bukan sekadar konsert, ia lebih kepada perayaan gabungan harmoni budaya muzik dari Malaysia dan Indonesia. Kolaborasi di antara Sun Eater (penganjur ternama di Indonesia) bersama TAPAUasia (penganjur komuniti indie di Asia Tenggara) harus dipuji kerana membawakan satu malam perpaduan muzik yang extraordinaire dan pasaran crossover budaya serumpun yang vibrant.

HCTSE mebuka tirai malam dengan band Midnight Fusic. Mereka membawa lagu-lagu kegemaran para audiens, salah satunya ‘Caramel Cream’. Bertindak sebagai wakil dari Malaysia, Midnight Fusic merupakan pilihan tepat untuk berkongsi pentas bersama band terkemuka dari Indonesia yang beraksi pada malam itu. Meski salah seorang ahlinya, Adrian Danial tidak dapat bermain bersama pada malam itu atas sebab tertentu, namun, mereka berjaya menawan hati peminat dengan lagu-lagu hits mereka. Pada malam itu juga, mereka memainkan salah satu lagu baru mereka yang akan release tidak lama lagi, untuk memberi suatu pengenalan dan pengalaman yang baru pada para peminat.

HCTSE diteruskan dengan .Feast, yang dinanti-nantikan oleh para peminat pada malam itu, di mana satu Zepp KL menjadi gila apabila vokalisnya, Baskara muncul di atas pentas. Mereka memulakan malam ajaib itu dengan “Tarian Penghancur Raya”, di mana audiens mula menjerit dan ‘mosh’ di tengah-tengah ruang Zepp KL. Jelas terlihat, semangat dan energi dari audiens pada malam itu adalah pada tahap maksima 10/10. Juga sempena isu dunia yang sedang berlaku – pengeboman palestin, Fikriawan, pemain bass .Feast, mula menjerit “Free Palestine!” dan seluruh Zepp KL menyahut semula “Free Palestine!” dan persembahan diteruskan dengan lagu “Berita Kehilangan”. Harus diakui, hawa segar dan relevansi tinggi dari penampilan mereka menumbuhkan nuansa berbeza dari konsert band indie umumnya adalah satu pengalaman malam tidak dapat dilupakan.

Seterusnya dimantapkan lagi dengan Mantra Vutura – kumpulan musik elektronik oleh Tristan Juliano, pemain piano Lomba Sihir & Zakari Danubrata. Namun mereka telah membawa Noni sebagai vokalis dan Ananda sebagai pemain keyboard pada malam itu. Mereka telah membawa pengalaman ‘galau’ dan menyeluruh dalam kalangan peminat, dengan lagu kemuncaknya, “Kembali”. Para audiens tertarik dengan kemahiran atau ‘skill’ musik instrumen mereka yang sangat mantap, terutamanya Tristan Juliano, pemain piano mereka yang juga bermain untuk beberapa lagi kumpulan Indonesia. Malam terasa begitu hangat dan semakin mempesonakan.

Akhirnya muncul Hindia di atas pentas, yang sangat dinanti-nantikan para audiens. Sekali lagi, Baskara muncul dan menggegarkan seluruh ruang Zepp KL dengan lagu pertamanya “Malaikat Berputar Di Atas Pecak” dari album terbarunya, Lagipula Hidup Akan Berakhir dan diteruskan dengan lagu mereka, “Janji Palsu”. Untuk mengekalkan tenaga dan semangat para peminat, mereka juga membawa lagu-lagu hits mereka dari album sebelumnya, “Untuk Apa/ Untuk Apa?”, “Besok Mungkin Kita Sampai” dan “Alexandra” – lagu tentang anak buahnya.

Hindia berinteraksi rapat dengan peminat, duduk di hadapan pentas bersama gitarisnya Janitra, melalui lagu kegemaran semua, “Membasuh” dan “Rumah ke Rumah”. Ketika menjiwai lagu-lagu tersebut, ramai peminat yang menyanyi dan menangis bersama. Begitu terkesan sekali persembahan mereka. “Cincin” berkumandang jua sebagai (sepatutnya) lagu terakhir mereka, namun para peminat bersuara melaungkan untuk dihadiahkan satu lagi lagu.

Tidak mahu mengecewakan semua, Baskara sporting memenuhi permintaan ramai dan mengalunkan lagu terakhir, “Nabi Palsu”, dan semestinya malam tersebut berakhir dengan seribu satu kenangan yang takkan terlupakan dan akan dikenang sampai bila-bila. Satu malam yang penuh senyum kepuasan, tidur malam pastinya lena bermimpi indah. Tahniah HCTSE, semoga ada lagi siri-siri konsert seterusnya, pasti ditunggu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page