October 23, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Hello Bam Bam”: Drama Interaktif Buka Mata Tentang Trauma & Kesihatan Mental

Spread the love

Foto Kredit:  Indera M.Daily

Sebuah drama baharu bertajuk Hello Bam Bam tampil dengan misi berbeza apabila bukan sekadar hiburan, sebaliknya membawa mesej kesedaran sosial tentang isu kesihatan mental, trauma kanak-kanak dan kehidupan insan terpinggir.

Projek terbitan penerbit Amy Mazurah dengan kerjasama MFI Group ini hadir sebagai projek CSR kreatif, memberi inspirasi khususnya kepada golongan remaja yang berdepan tekanan hidup, masalah buli, krisis identiti, kecenderungan bunuh diri dan diskriminasi sosial.

Lebih menarik, drama ini menampilkan konsep interaktif di mana penonton boleh memilih sendiri pengakhiran kisah, sama ada berakhir dengan kegembiraan atau kesedihan. Pendekatan unik ini bukan sahaja memberi pengalaman berbeza, malah menyedarkan penonton bahawa setiap pilihan dalam hidup memberi kesan besar terhadap masa depan.

Selain medium hiburan, Hello Bam Bam turut membuka ruang kolaborasi bersama artis tempatan, pempengaruh serta rakan strategik untuk menyuarakan kesedaran melalui platform digital, khususnya TikTok.

Antara pihak yang menyokong projek ini termasuk Tourism Johor, serta penaja seperti Win Win Food Industries, Presgo Gateways, Tiger Base Camp, Berjaya Waterfront Hotel, Majalah Santai Travel dan Restoran Kopihut.

Menambahkan lagi nilai seni, seniman legenda era 90-an Ady Wow turut tampil dengan sebuah lagu baharu berjudul “Luahan” yang menjadi runut bunyi rasmi drama ini.

Hello Bam Bam membawa penonton menyelami kisah Awin (lakonan Shafie Naswip), seorang khunsa yang sejak kecil menjadi mangsa dera dan buli di asrama anak yatim sebelum diselamatkan oleh Deddy, pendandan rambut flamboyan lakonan Diva AA.

Pertemuannya dengan Jojo (Hello Angah), seorang tomboy yang pernah cuba menamatkan hidupnya, membuka jalan persahabatan erat. Kehadiran Bam Bam (Bang Aji), seorang kanak-kanak terbiar, kemudian mengubah segalanya apabila Awin dan Jojo memilih untuk menjadi ibu dan ayah kepada anak kecil itu.

Namun, perjalanan mereka tidak mudah apabila berdepan watak antagonis seperti Black, majikan lama Jojo yang pendendam, serta Cik Wawa, tuan rumah kaya tetapi tamak.

Lebih daripada sekadar drama, Hello Bam Bam hadir sebagai naskhah yang menyentuh hati, mencerminkan realiti kehidupan tentang depresi, trauma, kemiskinan dan ketabahan jiwa-jiwa yang sering dipinggirkan.

Dengan mesej jelas bahawa kasih sayang walaupun datang daripada insan yang tidak sempurna mampu menyelamatkan jiwa dan memberi harapan baharu, drama ini diyakini bakal meninggalkan kesan mendalam buat penonton.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page