January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Healing Nite 2026 medium terapi emosi, Anuar Zain ajak reset minda

Spread the love

Penganjuran Healing Nite 2026 yang dijadual berlangsung pada 24 Januari 2026 di Stadium Merdeka disifatkan sebagai medium terapi emosi dan kesejahteraan diri yang berkesan untuk memulakan tahun baharu, dengan barisan penghibur tersohor tempatan dan serantau.

Konsert yang menampilkan Anuar Zain, Ella, Dayang Nurfaizah serta artis Indonesia Lyodra dan Kangen Band itu dianjurkan oleh Kembar Nusantara Sdn Bhd dengan sokongan Creative Page Sdn Bhd bagi aspek produksi, manakala Yumeca Sdn Bhd mengendalikan strategi, pemasaran, penajaan dan penglibatan pengguna.

Anuar Zain yang sinonim dengan konsep ‘healing jiwa’ menerusi vokal lembut dan lirik mendalam melihat Healing Nite 2026 sebagai ruang untuk melakukan reset emosi dan minda ketika melangkah ke tahun baharu.

Anuar Zain

“Saya suka menyifatkan reset emosi dan minda sebagai fresh start effect iaitu memulakan sesuatu yang baharu dengan lebih segar, seolah-olah kita melepaskan beban lama dan membina niat baharu. Jadi saya melihat Healing Nite 2026 yang diadakan pada 24 Januari ini sangat sesuai dengan konsep teraputik yang diterapkan kerana hiburan, khususnya muzik, boleh menjadi terapi terbaik untuk meningkatkan emosi positif dan menghilangkan tekanan,” katanya.

Sementara itu, Ratu Rock Negara Ella menyifatkan muzik sebagai saluran untuk melepaskan tekanan dan memulakan tahun dengan energi baharu.

“Bagi saya, healing melalui muzik seperti Healing Nite 2026 ini adalah cara terbaik untuk memulakan tahun baharu. Ramai yang mungkin memendam perasaan pada tahun lalu seperti penat bekerja atau hilang keyakinan diri, jadi mari kita lepaskan semua yang ‘buruk’ dan bina energi baharu menerusi pengalaman teraputik ini. Bukan saya seorang, malah rakan-rakan lain seperti Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Kangen Band dan Lyodra juga akan healing bersama anda,” katanya.

Dayang Nurfaizah turut senada dan mengajak peminat melihat Healing Nite 2026 sebagai pembukaan tahun yang positif, selain menikmati hiburan dengan cara yang sihat.

“Ramai mungkin lupa bahawa mendengar muzik bukan sekadar hiburan, malah ia juga aktiviti sihat, seperti senaman ringan apabila kita menyanyi dan ‘bergoyang’. Jika anda mencari hiburan yang mempunyai elemen teraputik ini, Healing Nite 2026 adalah jawapannya. Awal tahun adalah masa terbaik untuk kita menarik semua yang positif,” ujarnya.

Selain persembahan muzik, Healing Nite 2026 turut mengangkat konsep konsert sebagai satu pengalaman gaya hidup berkurasi. Bermula seawal jam 1.00 petang, pengunjung akan disambut di Healing Tent yang diwujudkan di pintu masuk utama Stadium Merdeka sebagai ruang transisi yang tenang sebelum suasana malam beralih kepada mood healing.

Ruang tersebut diperkaya dengan kolaborasi rakan gaya hidup dan kulinari termasuk sajian Melayu autentik oleh LADO, minuman kopi daripada Cartel Coffeeshop dan Coffee Beans, hidangan ayam gunting dan kebab shawarma oleh Crackohut, pastri oleh Peti Dessert, buah-buahan segar daripada Sugar & Fruits serta variasi nachos kontemporari oleh NachosLah.

Pengalaman itu diteruskan di dalam stadium apabila Coffee Cartel dan Ahmad Fried Chicken bersama Teratak Spa memainkan peranan menyantuni pengunjung sepanjang konsert berlangsung. Secara keseluruhan, Healing Nite 2026 bukan sekadar acara hiburan, sebaliknya sebuah pengalaman gaya hidup yang menghubungkan muzik, rasa dan ketenangan dalam satu perayaan jiwa yang eksklusif.

Healing Nite 2026 akan berlangsung pada 24 Januari 2026 di Stadium Merdeka Kuala Lumpur bermula pukul 8.45 malam. Tiket dengan pelbagai kategori harga bermula dari RM190 boleh didapati menerusi pembelian di www.ticket2u.com.my.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page