September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Hazwani Helmi Lancar Lagu Terbaharu “You Are Not Alone (YANA)”

2 min read
Spread the love

Aktivis kemanusiaan dan pelakon terkenal, Nur Hazwani Afiqah Helmi, 27, atau lebih dikenali sebagai Hazwani Helmi, baru-baru ini melancarkan lagu solo pertamanya yang berjudul “You Are Not Alone” (YANA).

Hazwani yang sebelum ini dikenali sebagai anggota kumpulan The Helmis bersama Heliza Helmi, serta pernah berduet dengan Sigma, kini tampil dengan karya ciptaannya sendiri. Lagu ini dihasilkan dengan bantuan Wan Saleh dalam susunan muzik dan diterbitkan oleh Nurflix Production.

Lagu YANA ini tercipta selepas Hazwani pulang dari misi kemanusiaan di Gaza pada 2019. Menurut Hazwani, lagu ini mempunyai makna yang mendalam dan istimewa baginya.

“Lagu ini terinspirasi ketika saya baru pulang dari misi di Gaza. Seorang rakan dari kumpulan misi mencadangkan untuk menghasilkan lagu ‘you are not alone’. Melodi lagu ini sudah ada sejak 2019, tetapi liriknya baru ditulis pada Ramadan tahun lepas. Dalam masa kurang dari 10 minit, lirik lagu ini siap,” katanya.

Lagu ini membawa semangat juang anak Palestin yang mengalir dalam dirinya. Hazwani menegaskan bahawa lagu ini adalah penghormatan kepada mereka dan sebuah tanggungjawab untuk menyampaikan mesej harapan dan daya tahan kepada dunia.

YANA juga menekankan isu-isu kehidupan seharian seperti hal keluarga, perceraian, patah hati, gelandangan, dan kelaparan. Hazwani berharap mesej lagu ini dapat menggerakkan perasaan dan pemikiran masyarakat agar lebih menghargai dan memahami cabaran hidup individu lain, khususnya di Palestin.

“Lagu ini mengingatkan kita bahawa kita tidak bersendirian dan tidak akan membiarkan mereka sendirian. Doa yang terkandung dalam lagu ini mengajarkan kita untuk memohon pertolongan kepada Allah dalam menyelesaikan segala masalah dan urusan hidup,” jelasnya.

Menariknya, YANA merupakan projek sulung gabungan pelajar Latihan Industri dari Nurflix, melibatkan pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kolej Yayasan Melaka, dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Video muzik lagu ini diarahkan oleh Imran Hakim menggunakan teknologi Unreal Engine dengan latar belakang CyberPunk.

Lagu “You Are Not Alone” telah dilancarkan di platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBOX, dan Deezer pada 26 Julai lalu. Video muziknya juga boleh disaksikan di saluran YouTube Hazwani, The Helmis.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page