October 12, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Hatsune Miku Bakal Gegarkan Kuala Lumpur November Ini Dalam Konsert MIKU EXPO 2025 — Tiket Mula Dijual 22 Julai

Spread the love

Peminat J-Pop dan budaya Vocaloid di Malaysia bakal diraikan dengan kehadiran ikon maya Jepun yang paling ikonik, Hatsune Miku, dalam konsert MIKU EXPO 2025 yang dijadual berlangsung pada 22 November 2025 (Sabtu) di Idea Live KL.

Pengumuman rasmi telah dibuat oleh penganjur iMe Malaysia pada Selasa, mengesahkan Kuala Lumpur sebagai salah satu destinasi terpilih dalam siri jelajah Asia MIKU EXPO 2025. Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi turut merangkumi pelbagai acara sampingan seperti pameran, bengkel, dan malam kelab sekaligus menjadikannya sebuah festival budaya digital yang menyatukan peminat dari pelbagai latar belakang.

Bagi yang belum mengenali, Hatsune Miku (初音ミク) bukanlah seorang artis konvensional. Diperkenalkan pada tahun 2007 oleh Crypton Future Media, Miku ialah penyanyi maya berasaskan teknologi Vocaloid — yang menyanyikan lagu melalui suara sintetik yang dihasilkan oleh perisian komputer. Namun begitu, pengaruhnya dalam dunia muzik global sangat besar, sehingga berjaya mengadakan konsert berskala besar dan pernah tersenarai sebagai artis di Coachella 2024.

Harga Tiket & Jualan

Harga tiket bagi MIKU EXPO 2025 Kuala Lumpur adalah VIP – RM1088, PS1 – RM558, PS2 – RM458, PS3 – RM358 dan PS4 – RM288

Tiket akan mula dijual secara umum bermula 22 Julai 2025 (Selasa) melalui platform BookMyShow dan Fantopia. Pelan tempat duduk turut telah didedahkan, memberi peluang kepada peminat untuk memilih lokasi terbaik bagi menikmati persembahan visual dan audio berteknologi tinggi yang menjadi ciri utama konsert Hatsune Miku.

Dengan kemunculan Miku di Kuala Lumpur kelak, MIKU EXPO 2025 dijangka menjadi antara acara paling dinanti tahun ini oleh komuniti peminat anime, J-pop dan budaya digital.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, layari laman web rasmi iMe Malaysia serta platform penjualan yang diumumkan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page