Harris J Hidupkan Semula Perjalanan Spiritual Menerusi EP Revival

Penyanyi dan penulis lagu kelahiran Britain, Harris J, kembali mewarnai dunia muzik dengan pelancaran EP terbaharu berjudul Revival, terbitan Awakening Music. Karya ini menandakan kemunculan semula beliau selepas beberapa tahun menyepi, membawa bersama semangat pembaharuan dalam muzik dan peribadi.
Mengandungi enam buah lagu, Revival mengangkat tema keimanan, kasih sayang dan pencarian spiritual, mempamerkan kematangan Harris J sebagai seorang artis dan insan. Dikenali dengan mesej positif dalam setiap karya, Harris J menyifatkan album ini sebagai cerminan perjalanan hidupnya yang lebih mendalam dan penuh ketulusan.
“Saya sangat gembira dapat kembali ke Malaysia dan berkongsi album ini dengan semua peminat di sini. Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya, dan sokongan peminat adalah inspirasi terbesar. Saya berharap Revival dapat menjadi teman dalam perjalanan spiritual mereka,” katanya ketika ditemui pada sesi promosi eksklusif di Kuala Lumpur.

EP ini memuatkan gabungan karya baharu dan susunan semula lagu-lagu ikonik, antaranya Qalbi Fil Madinah bersama Maher Zain, O Allah, Salati dan Always Listening. Single utama Hayati turut dipersembahkan dalam bentuk video muzik sinematik arahan pengarah Perancis-Tunisia, Idris Kheder, dengan penggambaran indah di Granada, Sepanyol.

Bagi Harris J, Revival bukan sekadar naskhah muzik, tetapi juga sebuah misi peribadi.
“Saya ingin membantu generasi muda Muslim berasa bangga dengan identiti mereka, dan melihat Islam sebagai cara hidup yang sempurna,” jelasnya.
Revival kini boleh didengari di semua platform penstriman utama, mengundang pendengar menyelami kisah dari hati ke jiwa seorang Harris J.