Hari Rock Negara Edisi Selatan Bakal Dihangatkan Oleh Search dan XPDC
Hari Rock Negara Edisi Selatan bakal dihangatkan dengan penampilan dua jenama besar dalam nuansa rock iaitu Search dan XPDC. Keduanya bakal beraksi pada 24 dan 25 November ini menerusi konsert Search Voyage of Asia yang akan diadakan di Educity Sports Complex, Johor Bahru, Johor pada 25 November ini,
Search dan XPDC sudah bersiap sedia beraksi di hadapan ribuan peminat tegar rock yang bakal hadir dari seluruh negara.
Bagi Search yang dianggotai Denden Gonjalez selaku vokalis, Din (gitar), Kid (gitar), Yan (gitar bes) dan Minn (dram), masing-masing teruja apabila berpeluang kembali ke negeri kelahiran untuk membuat persembahan.
“Kami berasa cukup teruja meskipun baru sahaja mengadakan persembahan di Kuantan baru-baru ini. Pastinya akan ada kelainan yang bakal ditampilkan dari segi pemilihan lagu untuk dipersembahkan termasuk menjanjikan persembahan terbaik untuk kepuasan warga Johor yang merindui lagu malar segar Search”, ujar Din sewaktu ditemui pada sidang media Konsert Search Voyage of Asia di Atria Shopping Gallery, baru-baru ini.
“Meskipun tidak banyak perubahan tetapi masih ada kelainan, cuma apa saya boleh katakan, ianya lebih ‘mesra’ peminat. Kami akan kekalkan situasi sama ketika menjayakan konsert sebelum ini”, tambahnya.
“Disebabkan beraksi di negeri asal, Johor, mungkin ‘nakal’ itu akan lebih sikit. Kami mahu peminat berpuas hati dengan persembahan yang bakal ditampilkan. Dari segi sistem bunyian dan sebagainya, kami akan pastikan berada dalam keadaan terbaik,”ujarnya lagi.
Sementara itu, Zuar yang juga merupakan pemain bass XPDC menjelaskan bahawa mereka hanya akan membuat persembahan pembukaan selama 45 minit, sebelum pentas diserahkan sepenuhnya kepada Search yang adalah ‘klimaks’ kepada konsert berkenaan.
“Mengikut perjanjian, ini bukanlah konsert XPDC bersama Search, tetapi kami hanya membuat persembahan pembukaan selama 45 minit. Jadi, berapa banyak lagu tak tahu lagi sebab kami hanya akan membuat persembahan dalam tempoh itu sahaja.
“Persembahan kami tanpa berhenti dan akan cakap sikit-sikit sahaja sebab penonton hendak fokus kepada Search. Disebabkan perjanjian sebegitu, maka tidak ada persembahan bersama Search”, ujarnya
Biarpun hanya bertindak membuat persembahan pembukaan pada Konsert Search Voyage of Asia, Zuar bersama anggota kumpulan lain iaitu Ary selaku vokalis, Jeff (gitar) dan Amy (dram) tetap menjanjikan aksi bertenaga supaya dapat memberi kepuasan kepada peminat.
Sementara itu, wakil penganjur C&M Music Centre Sdn Bhd, Adib Abdullah, berkata sebagai langkah menyempurnakan misi bagi menghadirkan pengalaman bermakna untuk acara bertemakan rock itu kepada peminat, pihaknya menggunakan teknologi bunyi dan cahaya yang canggih.
“Penganjur juga akan terus berinovasi bagi menyelitkan elemen kreatif dalam acara. Menjadi impian kami untuk bertindak sebagai perantara yang dapat menghubungkan komuniti peminat rock Malaysia supaya dapat berkumpul, berinteraksi dan berkongsi pendapat.
“Acara sebegini diadakan adalah untuk menghimpunkan peminat muzik rock negara. Bermula tahun lalu, Hari Rock Negara membuktikan pentingnya ia sebagai acara rock yang signifikan apabila mencatat lebih 16,000 pengunjung,” ujarnya.
Hari Rock Negara Edisi Selatan juga tampil dengan pelbagai aktiviti termasuk gerai jualan usahawan tempatan, pelancaran album, forum, kartun, rock, qasidah, wayang pacak, showcase dan acara Battle of The Bands.
Selain itu, penganjur turut bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), Syria Care bagi membantu mengutip sumbangan untuk tabung Search XPDC Voyage of Asia for Palestin.
Malah, satu majlis tahlil untuk Allahyarham Mael XPDC dan Yazid Search akan diadakan termasuk mendapatkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga dua legenda rock itu.
Tiket tiket boleh didapati secara online melalui pembelian di laman sesawang https://www.ticket2u.com.my/event/31727 atau boleh dibeli secara fizikal di C&M Music Centre Plaza Pelangi & Plaza Angsana Johor Bahru dan beberapa lokasi siri jelajah yang akan diadakan di sekitar Johor Bahru seperti tarikh di bawah :
Mereka akan berada di sesi jelajah konsert terbabit bermula hari ini di InhalFest Carnival, Taman Universiti Johor Bahru pada jam 9 malam dan Pasar Karat, Johor Bahru jam 11 malam
Tarikh dan lokasi lain ialah Deepavali Carnival, Marina Walk, Puteri Harbour pada 11 November (5 petang), BBC Larkin, Johor Bahru (9 malam) dan The M Restaurant, Bandar Baru Uda (10.30 malam).
Hari Rabu(15/11)@10pm Search (Kid,Din dn Yan) live interview di Bapakku Fm
Pada 18 November pula di Laketown Streets Kluang (6 petang), Batu Pahat Mall, Batu Pahat (8.30 malam) dan Diamond Town, Kluang (11 malam).
Pada 19 November di Angsana Johor Bahru Mall (3 petang), Karnival Temasya Bandaraya, Pasir Gudang (9 malam) dan Pasar Borong Pandan, Johor Bahru (11 malam).