Hardwell Kembali! NEON Festival 2025 Tampil Barisan Gah

Detik permulaan kepada sebuah pengalaman muzik elektronik paling mengujakan tahun ini telah bermula. Penganjur NEON Music Festival (NMF), NEON Projects Sdn Bhd secara rasmi telah mengumumkan barisan penuh artis yang bakal menggempakkan pentas KL Base Sungai Besi pada hari Jumaat, 11 April 2025.
Bintang global dan ikon muzik elektronik, Hardwell, bakal membuat kemunculan semula yang amat dinantikan selepas tujuh tahun tidak menjejakkan kaki ke Malaysia. DJ dan penerbit muzik berusia 37 tahun dari Belanda ini terkenal dengan lagu-lagu ikonik seperti “Spaceman,” “Apollo,” dan “Run Wild”. Kini beliau menerajui era baharu muzik elektronik dengan gaya inovatifnya, Big Room Techno. Hardwell juga pernah berkolaborasi dengan nama-nama besar seperti Craig David, Jay Sean, Austin Mahone, dan Jason Derulo, serta menghasilkan remix untuk artis ternama seperti Rihanna, Calvin Harris, Moby, Ellie Goulding, U2, J Balvin, dan Coldplay. Beliau merupakan nama tetap di festival antarabangsa seperti Lollapalooza, Coachella, EDC Las Vegas, Creamfields, dan Tomorrowland.

Turut menghangatkan pentas adalah duo DJ dan penerbit muzik dari Ukraine, ARTBAT, yang terkenal dalam dunia melodic techno. Mereka akan membuat penampilan sulung yang amat dinanti-nantikan di rantau ini dengan mempersembahkan pengalaman audio-visual baharu mereka, UPPERGROUND.
NEON turut mengumumkan persembahan bersejarah oleh tiga gergasi Progressive House — DUBVISION, Matisse & Sadko, dan Third Party — yang bakal bergabung dalam persembahan back-to-back-to-back (b3b) pertama mereka. Ini bakal mencipta sejarah dalam dunia muzik tarian elektronik. Matisse & Sadko sebelum ini pernah tampil di Malaysia, namun kehadiran Third Party buat pertama kali di tanah air akan menambah nilai eksklusif kepada festival ini.
Antara nama lain yang turut tersenarai dalam barisan artis adalah 22Bullets b2b Marvinz1r, Blink, Chukiess & Whackboi, Dirty Signal, Honey Gee, dan RXB.

NEON Music Festival 2025 bakal membawa pengunjung ke satu dimensi baharu — dengan pentas berfokuskan LED yang immersive, grafik reflektif definisi tinggi secara masa nyata, sistem bunyi bertaraf antarabangsa, dan paparan laser tercanggih untuk pengalaman audiovisual 360 darjah yang menakjubkan. Gabungan visual surreal, muzik bertenaga tinggi dan suasana liar akan memberikan pengalaman festival yang tiada tandingan.
Mereka yang mengenali jenama NEON tahu bahawa festival ini bukan sekadar muzik — ia turut menekankan aspek keselamatan, keselesaan, hospitaliti, dan menawarkan pelbagai ruang foto yang menarik serta instalasi seni yang menakjubkan.
NEON telah dikenali di peringkat global melalui penganjuran festival-festival inovatif sejak penubuhannya. NEON Countdown Festival yang diadakan setiap hujung tahun sejak 2016 berjaya menarik antara 25,000 hingga 30,000 pengunjung, manakala NEON Music Festival yang dimulakan pada 2018 menerima kehadiran sehingga 18,000 pengunjung. Untuk edisi kali ini, dijangka lebih 20,000 pengunjung akan hadir.

Tiket awal early bird kini boleh didapati pada harga RM268 (selagi stok masih ada). Jualan umum akan bermula pada RM288 (Tier 1) dan RM328 (Tier 2), manakala tiket VIP dijual pada harga RM458. Tiket VVIP yang terhad boleh didapati atas permintaan.
Tiket kini boleh dibeli melalui laman web rasmi: www.neonmusicfestival.asia
Ikuti perkembangan terkini di Instagram dan Facebook: @neonmusicfestival