Hanya Lapan Individu Sah Guna Nama XPDC – KARYAWAN & Life Records Tegas Ambil Tindakan Undang-Undang

Oleh: RafidahWHITE
Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) hari ini menegaskan bahawa hanya lapan individu yang pernah terbabit secara sah bersama kumpulan XPDC dibenarkan menggunakan nama kumpulan rock legenda itu, selaras dengan kenyataan rasmi daripada syarikat rakaman Life Records yang memiliki hak cipta jenama XPDC.
Peguam mewakili KARYAWAN, Aizul Rohan menjelaskan bahawa Life Records hanya mengiktiraf dua entiti rasmi yang dibenarkan menggunakan nama XPDC, iaitu XPDC Kita Peng Yu dan XPDC Militia. Beliau menambah bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana pihak ketiga yang menggunakan nama tersebut tanpa kebenaran.

“Seperti tertulis dalam surat rasmi yang dikeluarkan Life Records, hanya lapan individu diberi lesen sah menggunakan nama XPDC. Selain daripada itu, sebarang penggunaan adalah tidak sah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” tegas Aizul dalam satu sidang media khas yang diadakan di Hotel Grand Barakah pada 9 Julai lalu.
Lapan individu yang diiktiraf secara sah adalah Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim (Mael), Mohd Zulkifly Nik Hussin (Izo), Azuar Md Tasi (Zuar), Rosly Abdul Samat (Lee Space), Suhaimi Abu Bakar (Amy), Mohd Ali Ismail (Ali), Saiful Rizla Kamarudin (Lola) dan Amran Marsiman (Yan)

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Life Records turut diedarkan kepada pihak media dan dimuat naik di laman Facebook rasmi syarikat itu, sekali gus mengesahkan hak eksklusif yang dimiliki dua kumpulan XPDC berkenaan.
Aizul turut mendedahkan bahawa XPDC Kita Peng Yu telah mendapatkan nasihat undang-undang berhubung kekeliruan yang timbul apabila satu lagi pihak yang tidak dinamakan oleh Life Records menggunakan nama XPDC secara aktif dalam konsert dan promosi persembahan.
“Surat Life Records sangat jelas sesiapa yang tidak dinamakan, tidak berhak. Kalau ada pihak yang tetap menggunakan nama XPDC, mereka akan berdepan tindakan undang-undang,” tambah beliau.

Pemain bass XPDC Kita Peng Yu, Zuar menyatakan kekesalannya terhadap kemunculan kumpulan ketiga yang menggunakan nama XPDC, yang menurutnya mengelirukan peminat dan mengganggu tawaran persembahan mereka.
“Bila ada nama XPDC, penganjur terus panggil tanpa tahu siapa mereka sebenarnya. Mereka pula tawarkan harga murah. Ini mencetus kekeliruan dan menjejaskan reputasi kami yang sah,” katanya.
Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez yang turut hadir pada sidang media itu menzahirkan harapan agar penyalahgunaan nama XPDC dihentikan segera.
“Masalah ini sudah berlarutan terlalu lama dan kami mahu menyelesaikannya secara profesional. Jika ada pihak melanggar undang-undang, tindakan tegas mesti diambil,” tegas beliau.
XPDC Kita Peng Yu kini dianggotai oleh Zuar (bes), Amy (dram), Jeff (gitar) dan Ary (vokal – menggantikan Allahyarham Mael). XPDC Militia pula menampilkan Ali (vokal), Izo (gitar), Eddie (bes), Lola (dram) dan Arif (gitar).
Sebelum ini, peminat XPDC dikejutkan dengan kewujudan kumpulan lain yang turut menggunapakai nama XPDC dalam konsert dan promosi media sosial, tanpa sebarang pengiktirafan sah, menyebabkan kekeliruan dalam kalangan penganjur dan peminat.
Dengan penegasan rasmi daripada pihak berkuasa industri dan pemegang hak cipta, isu penggunaan nama XPDC dijangka akan ditangani dengan lebih tegas demi menjaga legasi serta hak kesemua anggota sah kumpulan rock legenda tanah air itu