Hafiz Suip Akui Masih Gementar, Pertaruh ‘Yang Engkau Mahukan’ Lambang Kematangan Diri
Sudah 17 tahun bergelar penyanyi rakaman profesional sejak menjuarai Akademi Fantasia Musim 7 pada 2009, namun perasaan gementar masih menghantui Hafiz Suip setiap kali merakamkan lagu baharu.
Terbaharu, Hafiz tampil dengan single Yang Engkau Mahukan, terbitan Sheikh Qalam Records Sdn Bhd bersama Sony Music Entertainment Malaysia, hasil ciptaan sepenuhnya komposer tersohor, Ajai.
Menurut Hafiz, meskipun sudah beberapa kali bekerjasama dengan Ajai, setiap karya baharu tetap membawa cabaran tersendiri.
“Apa yang saya suka dengan karya Abang Ajai adalah melodinya yang unik dan tidak statik. Sebab itu saya masih memilih beliau sebagai komposer.
“Saya akui berasa gementar untuk membawakan lagu ini kerana kita tidak tahu bagaimana reaksi dan ekspektasi peminat. Tambahan pula sekarang industri muzik dipenuhi ramai penyanyi solo lelaki. Ia satu cabaran dan sedikit tekanan buat saya,” katanya.

Hafiz yang baharu mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama pilihan hatinya, Fiona Safiya di Petrajaya, Kuching pada 13 Februari lalu, mengakui lagu itu turut mencerminkan kisah kehidupan dirinya.
“Kisah mengenai diri dan kehidupan saya cuba saya sampaikan dalam lagu ini. Yang tahu… tahulah. Selebihnya terpulang kepada interpretasi peminat,” katanya.
Menurutnya, sebelum proses rakaman dilakukan, dia dan Ajai mengadakan perbincangan terperinci bagi memastikan hala tuju lagu benar-benar jelas.
“Kami ‘bertapa’ di studio dan berbincang. Alhamdulillah prosesnya tidak terlalu lama. Cuma rakaman dibuat dua kali kerana kami mencari kesesuaian ‘key’ suara.
“Untuk rakaman kedua, Abang Ajai naikkan satu ‘key’ dan akhirnya barulah ia benar-benar sesuai dengan karektor dan dinamika vokal saya,” katanya yang bakal menyambut ulang tahun ke-36.
Sementara itu, Ajai menyifatkan Hafiz sebagai penyanyi yang semakin matang dan memahami tanggungjawabnya sebagai anak seni.

“Dia datang ke studio dalam keadaan bersedia. Penghayatannya semakin mendalam dan dari sudut teknikal juga lebih kemas. Suara dan lunaknya masih ada, malah lebih terserlah.
“Single ini mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan, bermula dengan perbincangan konsep. Kami memilih pendekatan matang kerana itu sasaran pendengar Hafiz,” katanya.

Tambah Ajai, walaupun terdapat pelbagai kategori lagu galau, mereka sepakat menghasilkan karya yang mampu menyentuh hati dan kekal di jiwa pendengar.
Single Yang Engkau Mahukan kini boleh didengari di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music sejak 16 Januari lalu.Bottom of Form
