June 14, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Hael Husaini Umum Konsert Solo Pertama Ogos Ini

Spread the love

Ikon muzik dan fesyen tanah air, Hael Husaini bakal mencipta sejarah apabila mengadakan konsert solo sulungnya bertajuk “Konsert Hael Husaini & Repertoire” yang dijadual berlangsung pada 8 Ogos 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

Dikenali dengan suara unik, kreativiti luar biasa dan gaya yang memukau, konsert ini dijanjikan sebagai satu pengalaman menyeluruh merangkumi muzik, fesyen dan emosi yang tidak dapat dilupakan. Ia bukan sekadar persembahan, sebaliknya satu pementasan seni yang menyentuh jiwa serta menonjolkan evolusi karier seni Hael selama ini.

Sejak mencipta nama menerusi kemenangan di Anugerah Juara Lagu (AJL) dengan lagu-lagu popular seperti “Jampi” dan “Haram”, Hael turut diiktiraf sebagai komposer berbakat yang menghasilkan karya agung termasuk “Anta Permana” nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Lagu tersebut turut mencatat sejarah apabila tersenarai dalam senarai main rasmi “The King’s Music Room” oleh Raja Charles III di Apple Music.

Tahun 2024 turut menyaksikan kejayaan Hael di pentas antarabangsa apabila lagu “Diam”, lagu tema drama tempatan, memenangi anugerah Lagu Tema Terbaik di Asian Academy Creative Awards (AACA) di Singapura. Dalam masa yang sama, Hael turut mengharumkan nama negara sebagai wakil fesyen Malaysia di acara Milan dan Paris Fashion Week 2025 bersama jenama terkenal seperti Dolce & Gabbana, Zegna, dan Kenzo.

Konsert ini diumumkan secara rasmi semasa siaran langsung Big Stage Alpha pada 1 Jun lalu, di mana Hael merupakan juri tetap rancangan tersebut. Hael juga berkongsi bahawa dua penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah dan Nadeera, akan membuat persembahan khas bersama beliau. Tidak terhenti di situ, menerusi hantaran di media sosial, Hael mengumumkan dua lagi artis undangan iaitu Wany Hasrita dan Nabila Razali, menjadikan malam konsert itu lebih istimewa dan dinanti-nantikan.

Hael menjelaskan bahawa beliau ingin menyampaikan lebih daripada sekadar muzik. “Saya mahu peminat hadir bukan hanya untuk mendengar lagu, tetapi merasai perjalanan saya – dari muzik, visual hingga fesyen. Saya mahu mereka keluar dari Zepp dengan rasa terinspirasi dan bangga,” katanya penuh semangat.

Konsert ini mendapat sokongan daripada stesen radio ERA, Sinar dan Gegar, serta Gempak sebagai rakan digital rasmi. Tiket konsert telah mula dijual sejak 3 Jun 2025 menerusi platform ticket2u.com.my dengan harga bermula RM120 untuk kategori Bronze sehingga RM588 bagi VIP Box.

Tiket Platinum akan disertakan dengan poster konsert bertandatangan, manakala pembeli VIP Box akan menikmati pelbagai faedah eksklusif termasuk pas pertemuan bersama artis, barangan rasmi, makanan dan minuman ringan serta ruang masuk peribadi.

Maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai konsert ini boleh diikuti melalui saluran media sosial rasmi Hael Husaini dan Rocketfuel Entertainment.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page