October 23, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Hael Husaini Kembali “Menikam Jiwa” Dengan Dua Lagu Baharu: Peluk & Alangkah!

Spread the love

Gabungan Emosi, Cinta Jarak Jauh & Luka Yang Tak Berpenghujung Dalam OST Dua Drama Meletop Astro

Kalau anda peminat balada penuh jiwa, bersiap sedia untuk dibuai perasaan! Penyanyi, komposer dan storyteller kesayangan ramai, Hael Husaini kembali menghidangkan karya penuh emosi menerusi dua single terbaharu, Peluk (feat. Nadeera) dan Alangkah yang kini menjadi OST rasmi untuk dua drama popular Astro.

Bukan setakat ‘sedap telinga dengar’, dua lagu ini juga sarat dengan makna mendalam yang pasti menyentuh perasaan sesiapa saja yang pernah mencintai… atau kehilangan.

Lagu Peluk mengangkat tema cinta jarak jauh (LDR), satu realiti yang makin ramai alami hari ini. Lagu duet bersama penyanyi berbakat besar Nadeera ini dipilih sebagai lagu tema untuk drama Astro “Mandul Bukan Pilihan” lakonan Mira Filzah, Ayda Jebat dan Hun Haqeem.

“Saya tulis lagu ini untuk mereka yang hidup dengan rindu setiap hari. Rindu yang kadang manis, tapi juga menyakitkan. Harap lagu ini boleh jadi ‘peluk’ buat hati yang sunyi.” Ujar Hael.

Yang menarik, ini adalah gandingan semula Hael dan Nadeera selepas kejayaan lagu Raya viral mereka, Meriah Lain Macam. Chemistry vokal mereka? Next level!

“Lagu ni bukan sekadar tentang jarak, tapi tentang kasih yang bertahan walau diuji. Saya bersyukur Hael percaya pada saya.” Ujar Nadeera setelah diberi peluang sekali lagi bergandingan dengan Hael.

Kalau Peluk bermain dengan rindu, lagu Alangkah pula terus menikam jiwa! Dengan melodi balada yang galau dan lirik penuh pengharapan, lagu ini menjadi OST untuk drama “Thariq Ridzwan” lakonan Meerqeen dan Qasrina Karim.

Lirik “Alangkah baik jika takdir berpihak padaku…” dah cukup untuk buat hati kita hancur berkeping.

“Lagu ni lahir dari kisah-kisah orang sekeliling saya. Ada cinta yang dalam, tapi tak semua cinta berakhir bahagia. Saya percaya, dalam pedih pun ada keindahan.”jelas Hael.

Asalnya, dua lagu ini dirancang untuk dimuatkan dalam album Antonim: Part II, tapi selepas preview eksklusif di konsert Hael Husaini & Repertoire, permintaan peminat melambung tinggi! Tak tunggu lama, Hael terus lancarkan sebagai single digital lebih awal.

“Saya tak nak simpan lagu-lagu ni terlalu lama. Bila peminat minta, saya rasa tanggungjawab saya untuk kongsi dengan mereka secepat mungkin,” ujar Hael.

Kedua-dua lagu kini boleh distrim di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, Joox, YouTube Music dan banyak lagi.  Video muzik rasmi pula masih dalam proses, tapi dijangka bakal drop tak lama lagi. Bersedia untuk satu lagi “roller coaster perasaan” ya!


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page