‘Going Crazy Wild’ Pertemukan Kat dan Su Jin
Nama Kat Roshan mungkin agak ‘hijau’ buat sebilangan peminat muzik tempatan, namun bagi mereka yang pernah mendengar karyanya di radio dan wadah digital lain, mungkin sudah tahu bahawa Kat merupakan seorang bintang vokal Malaysia yang bakal menyinar.
Bagi pemilik nama sebenar Katrina Cheng Binti Roshan, yang meminati muzik sejak kecil, bakatnya dikesan oleh guru biolanya yang mendapati Kat mempunyai ‘tone’ suara yang sempurna. Memulakan pengajian piano seawal usia lima tahun di bawah didikan teman ibunya, Serena Yee, Kat kemudian mempelajari seni gitar berkat didikan guru matematiknya Stephen Kimber serta pengurusnya dalam pembangunan bakat serta kerjaya awalnya.
Sejajar dengan kemajuan muziknya, bintang ini baru sahaja melancarkan karya terbaharunya yang berjudul ‘Going Crazy Wild’. Dicipta dan diterbitkan oleh penerbit tersohor dari Korea Selatan Jeong Wook ‘James’ Park, bersama Jun Il Kim serta Chan Hee Jung.
Lagu berentak ‘dance’ itu turut menampilkan pembabitan Kat sendiri sebagai penulis lirik bersama dengan bintang hiphop Korea Su Jin. Kim Su Jin merupakan artis di bawah naungan label MOT milik Park Jeong Wook dan terkenal dalam dunia hip hop Korea.
“Semasa bertemu Kat pada pertama kali, orangnya memang kelihatan jelas seperti seorang pencinta muzik. Namun, selepas sesi rakaman, saya mendapati dia mempunyai vokal sempurna dan sangat serius tentang muzik”, ujar Su Jin.
“Saya dapat rasai cinta sejatinya terhadap seni inii, selepas mendengar rakaman akhir dengan selingan alat muzik yang sempurna berserta alunan suara merdu Kat, saya dapati dia mempunyai potensi yang besar sebagai seorang artis”
Dari awal projek album ini sehingga sekarang, tanpa mengira genre muzik, kami sudah berkongsi banyak kisah tentang muzik dari seluruh dunia. Malah, ia membuat minat saya untuk berkembang di peringkat global dengan lebih meluas.
Saya harap dapat menggabungkan saripati K-pop dengan suara Kat dan terus bekerjasama dengannya yang bukan sahaja dikenali di Malaysia tapi juga di persada dunia,” jelas Su Jin.
Park Jeong Wook turut mengakui kebolehan artisnya Su Jin untuk projek ini dan menganggap bahawa Su Jin adalah seorang artis yang unik. Sebagai seorang penyanyi rap dan vokalis asli yang menggabungkan muzik tradisional ‘Trot’ Korea dengan Rap.
Dia boleh dianggap sebagai seorang ‘Troper’ (gabungan trot dan rap) yang unik. Kemampuannya menggabungkan kedua-dua unsur gaya muzik itu dalam seninya pasti membuat persembahannya lebih menarik dan menakjubkan,” ujar Kat.