April 9, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Give Me Your Forever’ Meledak Kembali, Jadi Lagu Cinta Ikonik Pertunangan Bella Astillah & Syed Saddiq

Spread the love

Lagu romantis “Give Me Your Forever” nyanyian bintang pop Filipina, Zack Tabudlo, kembali mencuri perhatian apabila menjadi latar utama detik pertunangan pelakon popular, Bella Astillah bersama Syed Saddiq, sekali gus mencetuskan fenomena baharu di media sosial.

Dilancarkan pada penghujung 2021 menerusi album sulungnya, Episode, lagu balada penuh emosi itu kini ‘hidup semula’ apabila membanjiri platform seperti TikTok dan Instagram menerusi video-video tular pasangan berkenaan.

Lebih manis, Zack Tabudlo sendiri turut berkongsi keterujaan apabila karyanya menjadi pilihan untuk momen istimewa itu. Penyanyi berbakat besar itu menitipkan ucapan tahniah kepada pasangan berkenaan di media sosial, sekali gus mengundang reaksi positif peminat dari Malaysia dan Filipina.

Fenomena ini secara tidak langsung mengulangi ‘hubungan’ antara karya Zack dan Bella Astillah. Tiga tahun lalu, Bella pernah mencuri perhatian apabila menghasilkan video cover lagu Pano, yang menjadi antara lagu paling berjaya di rantau ini.

Nama Zack Tabudlo bukan calang-calang dalam industri muzik Asia. Beliau mula mencipta impak besar apabila lagu Binibini mendominasi carta Spotify selama enam minggu berturut-turut pada 2021, sekali gus melonjakkan namanya ke peringkat global.

Kejayaan itu turut membawa Zack ke pentas antarabangsa apabila wajahnya dipaparkan di papan iklan ikonik Times Square, New York. Malah, lagu Pano turut mencipta rekod tersendiri apabila kekal di tangga nombor satu carta Top 50 Filipina selama 455 hari.

Di Malaysia, penangan “Give Me Your Forever” terus terasa apabila lagu itu bukan sahaja menjadi pilihan utama video romantis, malah mencetuskan gelombang parodi kreatif, termasuk daripada stesen radio ERA Sarawak.

Kini, karya Zack Tabudlo terus mengukuhkan kedudukannya dalam carta Spotify Top 200 di beberapa negara Asia termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, UAE dan Vietnam sekaligus membuktikan bahawa lagu cinta yang jujur dan dekat di hati mampu menembusi sempadan budaya serta bahasa.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page