Gig Death to Decay II Pecah Suasana Metal Kuching

Enam buah band metal pelbagai aliran berjaya menggoncang pentas Death to Decay II yang berlangsung di Purrfect Studio pada malam Sabtu lalu, menjadikan acara anjuran Inferno Stage Entertainment bersama Punkcaroba Entertainment itu satu kejayaan besar bagi komuniti metal bawah tanah di Kuching.
Barisan persembahan dimulakan dengan Morbid Steel (heavy metal ala NWOBHM) diikuti Neraizz (grindcore), Torture of Agony (metalcore), Blindsided (post-thrash/groove metal), serta Militant Attack (old-school thrash metal). Setiap band tampil bertenaga dan berjaya menghidupkan suasana penuh adrenalin.
Kemuncak malam itu tiba apabila band headliner dari Singapura, Antologi, mengambil alih pentas. Dari lagu pertama, aura Death/Thrash Metal mereka terus mencetuskan mosh pit ganas di tengah ruang penonton. Ramai yang turut serta dengan singalong pada bahagian korus, manakala selebihnya hanyut dalam gelombang headbanging yang tidak putus-putus. Tenaga mereka jelas membakar semangat crowd hingga ke penghujung persembahan.

Ditubuhkan sejak 2009, Antologi dipengaruhi Testament, Slayer, Exodus, Obituary, Deicide dan Sepultura. Dengan empat album penuh termasuk Arah Perjalanan (2012), Berjuang (2018), Chronicles of Catastrophes (2021) dan Dawn Of Extinction (2025), reputasi mereka dalam scene Asia Tenggara terbukti dengan mutu persembahan yang konsisten dan penuh brutaliti.
Sambutan hangat daripada penonton untuk gig ini juga amat membanggakan pihak penganjur, kerana Purrfect Studio yang biasanya menempatkan sekitar seratus orang penonton hampir penuh, menunjukkan sokongan luar biasa terhadap acara metal tempatan di Kuching.
“Death to Decay II telah berjaya dilangsungkan! Sokongan padu yang diterima benar-benar luar biasa dan menjadikan gig ini satu kejayaan gemilang,” kata penganjur dalam kenyataan mereka selepas tamat acara.
Mereka turut menyampaikan penghargaan kepada semua band tempatan yang dianggap sebagai “nadi dan wira tempatan” serta kepada Antologi yang sanggup datang jauh dari Singapura untuk memberikan persembahan bertenaga yang “benar-benar membantai penonton seperti yang kami semua harapkan.”
Dengan tirai acara sudah ditutup, penganjur memberi bayangan untuk kembali dengan edisi akan datang. “Sehingga berjumpa lagi… Stay brutal!”




