March 4, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Ghea Indrawari Pilih Zepp KL untuk Konsert Solo Pertama

Spread the love

Penyanyi Indonesia, Ghea Indrawari, bakal kembali menemui peminat tempatan menerusi konsert solo istimewa bertajuk “RASI JIWA – Live in Kuala Lumpur” yang dijadualkan berlangsung pada 8 Mei 2026 di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert ini dijangka menjadi sebuah malam penuh emosi dan keintiman, selari dengan identiti muzik Ghea yang sinonim dengan lirik jujur, penceritaan perasaan dan persembahan vokal yang menyentuh jiwa.

Menurut Ghea, “Rasi Jiwa” membawa falsafah penerimaan diri serta perjalanan emosi manusia yang tidak sentiasa berada dalam keadaan sempurna.

“Rasi Jiwa menolak standard ‘harus baik-baik saja’. Ia mengajak anak muda untuk mengakui proses kehidupan termasuk fasa bingung, jatuh dan belum selesai,” katanya.

Berbeza daripada konsert berskala besar, “Rasi Jiwa” dirancang sebagai sebuah pengalaman lebih dekat dan peribadi antara artis dan penonton. Pemilihan Zepp Kuala Lumpur dilihat bersesuaian dengan konsep keintiman yang ingin diketengahkan, sekali gus membolehkan interaksi emosi yang lebih mendalam.

Beberapa kategori tiket ditawarkan termasuk free standing, tempat duduk bernombor, Meet & Greet serta VIP Suite bagi peminat yang mahukan pengalaman eksklusif. Menariknya, setiap kategori tiket dinamakan berdasarkan fasa emosi kehidupan.

Harga tiket ditawarkan bermula RM198 hingga RM238 bagi kategori berdiri di tingkat bawah, RM338 hingga RM368 untuk tempat duduk di tingkat atas. Sementara itu, Meet & Greet berharga RM300, manakala VIP Suite ditawarkan pada harga RM5,000.

Dikenali menerusi lagu-lagu balada yang mengangkat tema cinta, kehilangan dan penyembuhan emosi, Ghea dijangka mempersembahkan rangkaian karya popularnya dalam susunan muzik yang lebih matang dan introspektif.

Untuk rekod, “Rasi Jiwa – Live in Kuala Lumpur” merupakan konsert solo penuh pertama Ghea Indrawari di Malaysia, sekali gus menjadi momen penting dalam perjalanan kerjaya seninya di peringkat serantau.

Tiket konsert boleh didapati menerusi laman web rasmi GheaRasiJiwaKL.com serta platform jualan tiket LOKET.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page