GGR Motor Perkenal Motosikal Elektrik Baharu Bersama Selebriti Ternama

Dunia automotif tempatan menyaksikan satu lembaran baharu apabila GGR Motor, syarikat yang diinspirasikan daripada filem ikonik Gila-Gila Remaja, tampil memperkenalkan inisiatif berani melalui pelancaran motosikal elektrik (EV) terbaharu mereka di bawah kempen “Go Green Revolution”.
Diterajui Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi selaku Pengarah Urusan, GGR Motor menerajui transformasi mobiliti hijau dengan kerjasama Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH MOTOR) Sdn. Bhd. selaku Rakan Strategik Eksklusif serta pengedar utama sah motosikal EV tersebut.
Pelancaran rasmi akan berlangsung pada 28 Jun 2025 di lokasi berprestij Saloma, Kuala Lumpur, dan akan dirasmikan oleh Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, sebagai simbol sokongan terhadap inovasi anak tempatan yang lahir daripada institusi TVET seperti IKM Beseri dan UNIKL MFI.

“Kami percaya bahawa mobiliti hijau bukan sekadar soal teknologi, tetapi gaya hidup. Dan bila selebriti menggunakan EV, mesej itu lebih mudah sampai kepada rakyat,” kata Muhammad Mussadiq.
Lebih istimewa, acara ini akan diserikan dengan kehadiran barisan selebriti popular tanah air seperti Johan Raja Lawak, Nabil Ahmad, Ajak Shiro, Farid Kamil, Cat Farish serta Bella Astillah. Wajah-wajah terkenal yang bukan sahaja dikenali ramai, malah mempunyai pengaruh besar dalam mencorakkan aspirasi generasi muda.
Menurut Mussadiq, pemilihan artis bukan semata-mata atas nama populariti, tetapi atas hubungan peribadi dan kepercayaan bahawa mereka mampu membawa mesej perubahan positif terhadap penerimaan EV di kalangan masyarakat.
Menariknya, Johan turut akan menjadi salah seorang rakan kolaborasi GGR Motor menerusi pembukaan kedai konsep bersama, termasuk membawa jenama makanannya, Itik ke Ayam?, ke peringkat lebih tinggi pasca pelancaran.
Acara akan bermula jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang, dengan pelbagai aktiviti seperti sesi pelancaran, pameran motosikal EV, jaringan pelabur dan media, serta disusuli dengan aktiviti malam seperti test ride, persembahan komuniti, cabutan bertuah dan sesi santai bersama peminat EV.

Sebagai tanda komitmen terhadap industri hiburan dan semangat hijau, GGR Motor turut menaja dua unit LionG1 e-bike bernilai RM2,054 setiap satu sebagai hadiah kepada penonton bertuah di Konsert Aku Muzik Kamu (AMK Indie 2025) yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Julai 2025 di Litar Antarabangsa Sepang.
“Ini adalah cara kami menyemai semangat mobiliti hijau di dalam komuniti hiburan dan belia, di mana impaknya akan lebih meluas dan bertahan lama,” ujar beliau.
Menutup sidang media dengan penuh yakin, Muhammad Mussadiq turut mendedahkan bahawa pihaknya telah menyampaikan hasrat kepada Pejabat Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, untuk merasmikan pelancaran motosikal elektrik ini. Langkah yang menggambarkan komitmen GGR Motor terhadap pembangunan teknologi hijau dalam skala nasional.
Kejayaan lalu dalam strategi promosi turut diperlihatkan apabila Bella Astillah pernah menerima skuter elektrik tajaan GGR Motor sewaktu kolaborasi dengan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) , satu langkah yang secara tidak langsung melonjakkan nama GGR Motor dalam radar pengguna tempatan.
Pelancaran ini bukan sekadar pengenalan produk baharu, tetapi simbol permulaan kepada perubahan landskap mobiliti Malaysia. Dengan pendekatan inklusif yang merangkumi teknologi, komuniti seni dan sokongan institusi, GGR Motor membuktikan bahawa masa depan hijau bukan lagi angan-angan ia sedang bermula sekarang