GGR Motor Lancar EV Rider Malaysia 2025, Revolusi Mobiliti Mesra Alam

Lion G1 Diperkenal Sebagai Motosikal EV Paling Mampu Milik
Kredit Foto: PaPaDin
GGR Legacy (M) Sdn Bhd (GGR Motor), pengeluar motosikal elektrik milik penuh usahawan Bumiputera, hari ini melancarkan program berskala besar EV Rider Malaysia 2025, sekali gus memperkenalkan model motosikal elektrik terbaharu mereka, Lion G1, yang ditawarkan pada harga mampu milik.
Majlis pelancarannnya telah berlangsung di Saloma Link dan MATIC, Kuala Lumpur pada 15 Jun lalu itu dianjurkan dengan kerjasama rakan strategik seperti PMH MOTOR, Bateriku.com, VECTRIX, PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia (PLMM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan TVET@KKDW, menjadikannya salah satu perhimpunan komuniti EV dua roda terbesar di rantau Asia Tenggara.

Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi, program ini bukan sahaja berfungsi sebagai pelancaran produk, tetapi sebagai gerakan nasional ke arah revolusi mobiliti rendah karbon dan pembangunan industri automotif hijau tempatan.
“EV Rider Malaysia ialah platform transformasi menyeluruh untuk memperkasa pendidikan pengguna, merangsang pelaburan, dan memperkukuh jaringan industri EV. Ini peluang besar untuk menjadikan Malaysia peneraju utama dalam revolusi mobiliti serantau,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran.

Antara sorotan utama adalah pengenalan Lion G1, motosikal elektrik pertama GGR Motor yang menggunakan motor 3,000 watt dan mampu mencapai jarak sejauh 120 kilometer dengan sekali pengecasan penuh. Ia ditawarkan pada harga asas RM3,999, dan serendah RM1,599 selepas subsidi MARiiCas.
Model ini turut dilengkapi teknologi pengecasan pantas yang membolehkan 50% tenaga dicaj dalam hanya 30 minit. Waranti komprehensif sehingga 50,000 kilometer turut disediakan bagi bateri, pengawal dan motor.
Sasaran pasaran GGR Motor merangkumi golongan belia, pelajar, penghantar makanan, penjawat awam, warga FELDA, komuniti bandar dan luar bandar yang memerlukan alternatif mobiliti kos efektif dan mesra alam.

GGR Motor juga mengumumkan kerjasama dengan PMH MOTOR sebagai pengedar utama motosikal EV mereka di seluruh negara. Selain itu, kolaborasi bersama Bateriku.com akan menyediakan khidmat selepas jualan dan penyelenggaraan di seluruh Malaysia.
Dalam usaha memperkukuh pembangunan tenaga mahir, GGR Motor dan PMH MOTOR turut menubuhkan Pusat Latihan Kemahiran TVET, yang akan menyediakan latihan teknikal kepada lepasan TVET dalam bidang pemasangan, penyelenggaraan, dan jualan motosikal EV.
Sementara itu, kerjasama dengan PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia bakal menyaksikan pelancaran bengkel rasmi PETRONAS MotoExpert di bawah jenama PETRONAS Sprinta, yang turut menawarkan pelincir khusus EV, PETRONAS Iona.



EV Rider Malaysia 2025 menyaksikan penyertaan aktif negara jiran seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan China, serta kehadiran pencipta kandungan dan penggiat media sosial EV dari dalam dan luar negara.
Antara objektif utama acara ini termasuk mempromosikan Malaysia sebagai hab permotoran EV dua roda serantau, meningkatkan kesedaran rakyat terhadap teknologi hijau, serta memperluas peluang keusahawanan dan pelaburan dalam industri EV tempatan.
Antara kemuncak acara pelancaran rasmi motosikal, GGR MOTOR telah menyampaikan hasrat kepada pejabat Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melancarkan motosikal elektrik (EV) keluaran GGR MOTOR yang di jangka akan berlangsung pada 28 Jun ini di Saloma Kuala Lumpur.
Acara yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang itu turut menampilkan sesi jaringan pelabur, test ride, persembahan komuniti serta aktiviti santai malam bagi memeriahkan sambutan.
GGR Motor yakin bahawa pelaksanaan EV Rider Malaysia 2025 bakal menjadi penanda aras baharu dalam landskap permotoran elektrik Asia Tenggara serta bukti bahawa produk anak tempatan mampu bersaing di peringkat global.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran beberapa tokoh kenamaan termasuk Yang Amat Mulia Tengku Syarif Temenggong Perlis, Dato’ Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail selaku Pengerusi GGR Motor, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, serta Ketua Pengarah MARA, Dato’ Zulfikri Osman dan CEO PLMM, En. Mohd Zameer Zahur Hussain.