GenKRU The Finale: One More Time – Ledakan Terakhir KRU di Pentas Nasional November Ini

Tiket Mula Dijual 3 Oktober Ini, Dijangka Ulangi Fenomena Sold Out Dalam Tempoh Sejam.
Selepas gegaran empat malam berturut-turut di Axiata Arena yang mencatat sejarah pada Mei lalu, KRU kembali sekali lagi. Namun kali ini, bukan sekadar sebuah konsert – GenKRU The Finale: One More Time adalah janji perpisahan, satu ledakan terakhir yang bakal terakam dalam ingatan ribuan peminat setia.
Pada 22 November 2025, Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil akan bertukar menjadi altar muzik, menyaksikan trio legenda Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry bakal menyalakan bara nostalgia serta menghadiahkan persembahan luar biasa kepada lebih 12,000 peminat yang dijangka membanjiri venue ikonik itu.

Konsert anjuran Icon Entertainment Sdn. Bhd. di bawah pimpinan Iman Tang ini merupakan penganjuran kelima dalam siri GenKRU sepanjang tahun, selepas kejayaan yang bukan sahaja menggegarkan Kuala Lumpur, malah mencetak rekod dalam Malaysia Book of Records termasuk “Most Show in a Single Concert Series” serta “Most Concert Tickets Sold Out in an Hour”.
“Ramai peminat minta kami teruskan jelajah ke negeri lain. Namun, faktor kos produksi membuatkan ia lebih praktikal untuk dilakukan di Kuala Lumpur. Nama ‘One More Time’ dipilih kerana ia bukan sahaja judul trek dalam album baharu KRU, Kaset, tetapi juga membawa makna simbolik – sekali lagi, peluang terakhir,” ujar Iman Tang ketika sidang media yang telah berlangsung pada 29 September lalu.
Jika sebelumnya KRU menguasai pentas tertutup, kali ini mereka tampil dengan keberanian baharu, re-imagining konsert mega dalam skala luar biasa. Norman menyifatkan ia sebagai percubaan bersejarah kerana KRU menjadi artis pertama mengangkat Stadium Hoki Nasional sebagai lokasi konsert solo berskala besar.
“GenKRU kali ini ibarat terjemahan semula dari ruang tertutup ke ruang terbuka, dengan lebih banyak kemungkinan teknikal, visual dan energi yang tidak dapat dilakukan sebelum ini. Kami benar-benar mahu ‘raise the bar’ dan menghadiahkan pengalaman yang berbeza,” kata Norman.
Apa yang membuat GenKRU The Finale: One More Time lebih bermakna adalah sifatnya yang lahir daripada permintaan peminat. Konsert ini bukan sahaja perayaan 33 tahun legasi KRU, tetapi juga bukti bahawa muzik tempatan masih mempunyai kuasa besar untuk menyatukan generasi.
Di sebalik produksi, The Finale turut mencerminkan trend baharu penganjuran konsert tempatan yang mula selari dengan standard global dimana siri persembahan yang berlangsung berhari-hari akibat permintaan tinggi.
“Jika kita lihat trend dunia, konsert besar sering berlangsung beberapa malam berturut-turut. Malaysia kini sudah mula mengikut arus itu. KRU menjadi sebahagian daripada tanda perubahan itu bahawa pemuzik lokal bukan lagi anak tiri, sebaliknya ‘gamechangers’ dalam industri,” tambah Norman.

Tiket bakal mula dijual bermula 3 Oktober 2025 jam 2 petang, dengan harga antara RM188 hingga RM558. Seperti sejarah lalu, permintaan dijangka melonjak dan mungkin sekali lagi mencatatkan fenomena sold out dalam tempoh singkat.
Tiket boleh didapati menerusi https://www.ticket2u.com.my/genkruFinale