September 8, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Geng Kubur Ajak Lepak Tepi Kubur… Ada Berani?

3 min read
Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Melepak tepi kubur? Rasa macam pelik je hobi orang zaman sekarang. Sesuai dengan tajuk, sememangnya banyak adegan melepak tepi kubur dalam filem ini, namun tiada kejadian menakutkan yang berlaku. Hantu hanya main acah-acah je, lalu lalang tunjuk muka. Sejak dari awal duduk di bangku panggung, saya antisipasikan aksi-aksi jumpscare yang berlaku di kawasan tanah perkuburan seperti yang biasa kita lihat dalam filem seram lain. Tekaan saya meleset. Suasana melepak tepi kubur tampak begitu selesa dengan cahaya terang, langsung tidak buat bulu roma berdiri, namun filem ini sarat dengan misteri dan teka-teki.

Filem arahan sutradara Gavin Yap (pernah mengarahkan filem Dendam Pontianak bersama Glen Goei) ini diilhamkan dari pengalaman sebenar beliau yang sememangnya suka dan selalu melepak di tepi kubur. “Sejak saya dan keluarga kembali semula ke Malaysia setelah berhijrah ke United Kingdom, rumah kami di Damansara Utama memang terletak hampir dengan tanah perkuburan. Tak pasti pula samada kebetulan atau tidak.” ceritanya. “Kemudian pindah ke Pulau Pinang pun rumah kami masih juga dekat dengan kubur. Jadi hobi melepak tepi kubur memang dah jadi aktiviti saya bersama rakan-rakan sejak zaman sekolah lagi.”

Disebabkan hobi tersebut, maka timbul idea untuk menghasilkan sebuah filem yang ada kena-mengena dengan aktiviti sedemikian. Gavin Yap turut bertindak sebagai penulis skrip bagi filem ini bercerita lebih lanjut, “Geng Kubur bukanlah sekadar filem seram semata-mata, tetapi ianya memberi lebih fokus kepada perjalanan kehidupan 4 orang sahabat. Disebalik hobi pelik mereka, masing-masing ada kisah tersendiri yang menghantui kehidupan mereka namun dirahsiakan antara satu-sama lain.

Saya percaya setiap yang menonton akan melihat ‘diri’ mereka dalam setiap watak yang ditampilkan.”
Kalau menurut saya, filem ini bakal mendapat pelbagai reaksi berbeza dari penonton mengikut lingkungan usia. Anak remaja saya begitu terhibur dengan idea cerita dan kualiti pelaksanaan lakonan serta visual filem ini yang cukup memuaskan dan berkesan pada pendapatnya. Terdapat gabungan unsur-unsur PTSD (Gangguan Stress Pasca Trauma), seram, komedi, konflik, cinta dan persahabatan yang sangat kuat antara 4 watak utama. Namun bagi saya pada usia 40an, tidak pula begitu enjoy dengan plot cerita sebegini yang saya rasakan sedikit komplikated. Rasa penat berfikir kenapa begini kenapa begitu.

Hal ini membuatkan saya merasa tidak adil untuk menulis ulasan dari sudut pemikiran peribadi saya. Penonton seharusnya menonton dan menilai sendiri setelah berkenalan dengan setiap karektor bagi memahami genre filem Seram Psikologi yang cuba dihuraikan. Sinopsis filem ini sebenarnya cukup sederhana – 4 sahabat baik (Firhan, Fang Liang, Prem dan Melati) sering melepak tepi kubur bukan muslim, saling bercerita tentang kisah hidup masing-masing tanpa menilai (judging) sesama sendiri.

Watak utama adalah Firhan yang kehilangan ibu akibat kemalangan 10 tahun lalu masih trauma dan bergaduh dengan emosinya sendiri akibat tidak dapat melupakan tragedi yang menimpa ibunya. Sering berhalusinasi dan merasakan mimpinya adalah reality, percaya ibunya masih hidup sehinggakan mengajak kawan-kawannya pergi ke tempat kejadian di tepi hutan belantara untuk mencari ibunya.

Sebagai kawan yang baik, mereka bersetuju dan semasa berada di dalam hutan, bermulalah pelbagai kejadian aneh dan misteri menakutkan apabila fikiran mereka dimanipulasi sesuatu yang mistik.
Harapan sang sutradara untuk memacu adrenalin penonton dengan ragam aksi terlihat suksess. “Harapan saya agar naskhah terbaru saya ini dapat diterima dan menghiburkan penonton. Saya yakin penonton akan mengenang kembali kehidupan zaman persekolahan mereka dahulu.” Pemilihan barisan pelakon-pelakon muda seperti Firdaus Suffiyan, Mia Sara Shauki, Lion Chong dan Sasidaran selaku teraju utama bertanggungjawab atas peranan masing-masing, tampil secukupnya dan tidak berlebih-lebih.

Penggambaran yang dilakukan pada September 2022 di beberapa buah lokasi sepeti Hulu Langat, Bandar Utama dan Kampung Baru memakan proses selama 22 hari lamanya. Geng Kubur merupakan filem sulung dibawah produksi Iron Hill Media, telah menarik minat Michael Chen selaku Penerbit Eksekutif kerana kelainan yang ditampilkan. “Bukan sekadar filem seram semata-mata, turut menyelitkan beberapa elemen lain untuk diangkat menjadi sebuah filem. Antaranya tema persahabatan, kekeluargaan dan penerimaan diri.” jelasnya.

Jom tonton filem ini, bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 25 April 2024 ini. Membawa pesan moral yang mendalam, rata-rata yang telah menonton memuji keserasian keempat-empat watak utama. Tidak terlalu banyak jumpscare, anda pasti terhibur sekiranya anda gemarkan filem Seram Psikologi yang seumpamanya.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page