GENBLUE Tamat Jelajah Promosi Asia Selama 15 Hari: Curi Tumpuan di KL dengan Flash Mob, Lukisan Batik dan Roti Canai

Foto Kredit: Ten Entertainment
Kumpulan K-pop dari Taiwan yang semakin menyerlah, GENBLUE, baru sahaja menamatkan jelajah promosi Asia pertama mereka selama 15 hari sempena pelancaran mini album sulung ACT LIKE THAT. Menyusuri tiga bandar utama iaitu Hong Kong, Bangkok, dan Kuala Lumpur. Enam anggota kumpulan ini, iaitu AYEON, XXIN, YUAN, LILI, AYAKO dan NICO, berjaya menambat hati peminat baharu dan mengukuhkan kehadiran mereka di rantau ini.

Penampilan pertama GENBLUE di Malaysia disambut meriah dengan pelbagai aktiviti media dan lawatan ke lokasi ikonik sekitar ibu kota. Namun, detik paling mencuri tumpuan berlaku di Pavilion Kuala Lumpur, apabila kumpulan ini mengejutkan orang ramai dengan flash mob bertenaga, mempersembahkan lagu utama mereka ACT LIKE THAT di tengah-tengah pusat beli-belah. Laungan mesra “Apa khabar? Kita GENBLUE!” dalam Bahasa Malaysia disambut sorakan peminat, sekali gus mencipta momen yang sukar dilupakan.
Dalam usaha memahami budaya Malaysia, GENBLUE turut menyertai sesi melukis batik tradisional, di mana mereka belajar menggunakan lilin cair untuk melakar corak sebelum diwarnakan mengikut kreativiti masing-masing. Setiap ahli menampilkan gaya tersendiri dalam karya seni mereka, yang mendapat pujian daripada tenaga pengajar.


Tidak ketinggalan, GENBLUE juga mencuba roti canai di sebuah kedai mamak tempatan. Reaksi spontan mereka yang penuh keterujaan sambil menyebut “sedap!” berkali-kali membuktikan bahawa keenakan masakan Malaysia berjaya menawan selera mereka.
Di Bangkok, GENBLUE turut mencipta kolaborasi kreatif menerusi cabaran tarian bersama selebriti Thailand seperti Pisitpol “Jump” Ekaphongpisit, Patchata “Fiat” Janngeon, kumpulan wanita Véra dan Blyss, serta ikon muda Nina Nutthacha Jessica Padovan. Di Hong Kong pula, mereka meraikan sokongan peminat setempat dengan sesi bertemu peminat dan media.



Hasil daripada usaha tanpa henti sepanjang jelajah ini, GENBLUE mencatat peningkatan hampir 20% pengikut baharu di media sosial, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai pendatang baharu paling menyerlah dalam arena K-pop. Pencapaian ini melengkapkan kejayaan mereka selepas memenangi Anugerah Rookie K-POP di Korea Culture Entertainment Awards tahun lalu.
GENBLUE kini kembali ke Taiwan untuk acara bertemu peminat dan sesi tandatangan sebagai penutup jelajah. Namun, peminat boleh menantikan lebih banyak kejutan apabila kumpulan ini mengesahkan bahawa muzik baharu bakal dilancarkan pada September 2025.
Untuk perkembangan terkini mengenai GENBLUE, ikuti mereka di Facebook dan Instagram.