Gegar Gegak Gempita Gelora 30 Tahun Cromok di Kuala Lumpur
Teks Oleh: Sakka E
Sekeras halilintar menggegar di langit, amarah sang pawana di bumi mendengus kejam merejam jantung jiwa persis prahara melandai gunung ganang, bukit dan lembah.
Ungkapan yang mungkin masih miskin maksud, dhaif dalam menjudul pengalaman menjadi saksi aksi malam persembahan, namun, itulah realiti luarbiasa yang ditampilkan oleh Cromok dalam meraikan ulangtahun ke 30 album “Forever In Time” yang diangkat sebagai “Masterpiece” mereka.
Judul lagu “Memories” sebagai pembuka tirai panggung tepat jam 8.30 malam, rejaman asyik petikan gitar Karl dibelasut deraman geram suara Sam, membelai buai penonton yang rata-ratanya peminat tegar Cromok yakni digelar “Cromers” yang telah memenuhi dewan panggung sejak awal lagi.
Kesaktian malam persembahan diteruskan dengan lagu-lagu dari album-album mereka seperti “Castaway”, “Colour of Truth”, “Stranger”, “Somewhere Anywhere”, “Unicorn” dan “Suffer”, dan seterusnya penonton disajikan dengan tayangan video yang menceritakan perjalanan 30 tahun album teragung tersebut.
Nuansa sistem bunyi yang seakan sang pawana pawaka, berhembus deras ke muka setiap jiwa yang hadir, dimandikan pula oleh olahan sistem lampu yang bergemerlapan seakan seluruh dewan tersebut berada dalam setiap lagu yang dipersembahkan dari album-album mereka seperti “Image of Purity”, “Forever In Time”, “Yours Truly”, “Mean, Meaner, Meanest” dan byk lagi.
Hatta, tidak hairanlah konsert anjuran Digent Media ini mendapat sambutan di luar jangkaan, tiket-tiket habis terjual dan mencapai tahap “Sold Out”. Kejayaan pihak penganjur mengumpulkan lebih dari 2000 peminat tegar Cromok dalam satu acara disamping memastikan segala-galanya berjalan dengan lancar haruslah diberi pujian dan semoga kekal cemerlang untuk acara-acara yang akan datang.
Bukan mudah untuk kekal sebagai sebuah kumpulan dalam tempoh lebih 30 tahun dan untuk terus relevan perlu ada persefahaman yang kukuh di antara setiap anggota Cromok. Itulah ringkasan yang dapat diceritakan pada tayangan video yang dipaparkan kepada penonton setiap kali selesai setiap set persembahan mereka.
Set seterusnya menghidangkan lagu-lagu seperti “Little One”, “Punishment Hour”, “IC”, “The Other”, “Seedling”, “Final Ticking” dan “Obsessed”. Pemilihan dan susunan lagu juga dilihat memainkan peranan dalam memantapkan lagi penjelajahan kisah keraian ke 30 tahun album yang merangkul anugerah platinum berganda ini.
Rakaman video “Wall of Fame” yang belum pernah ditayangkan di mana media menyajikan detik-detik penting Cromok dan beberapa pengalaman pahit manis mereka mengimbau nostalgia para peminatnya pada era kebangkitan kumpulan yang bergenre “Thrash Metal” atau lebih tepat lagi “Thrashditional” ini.
Persembahan pada malam itu diterajui oleh tonggak utama Cromok iaitu Karl sebagai gitar utama dan Sam sebagai vokalis dan pemain bass, dibantu oleh Shah Sidious sebagai gitar kedua dan Apis Cropox sebagai pemain drum yang menggantikan Miji yang tidak dapat beraksi pada malam itu disebabkan faktor kesihatan.
Penglibatan para pemuzik tradisional seperti angklung, cak lempong dan seruling bambu yang mengiringi Cromok pada malam itu juga memberikan suatu keserian dan kelainan yang diluar jangkaan.
Di hujung persembahan mereka, satu berita penting dan sedih buat peminat Cromok diumumkan, dimana Miji selaku pemain drum terpaksa mengundurkan diri dari Cromok. Pengunduran diri ini dibuat atas sebab faktor kesihatan dan spiritual, Miji juga sangat berharap para Cromers memahami keputusan beliau itu.
Sebagai tanda ucapan selamat tinggal buat Miji, Cromok telah menyampaikan lagu “Farewell” dengan penuh emosi sebelum melabuhkan tirai konsert dengan lagu “Journey”.
Cromok – Forever In Time – 30th Anniversary, suatu persembahan penuh nostalgia yang akan dikenang oleh setiap mata jiwa yang hadir pada malam itu. Mata-mata yang menjadi saksi bahawa Cromok akan terus ada, terus teguh dan terus relevan.