November 22, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Gebyar Nusantara: Pesta Seni dan Warisan Indonesia di Kuala Lumpur

Spread the love

Sebuah pesta unik untuk meraikan seni, warisan, dan pelancongan Indonesia, dikenali sebagai Gebyar Nusantara, bakal berlangsung di Raintree Plaza, Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur, pada 30 November dan 1 Disember 2024.

Pesta dua hari ini, anjuran Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur, menjanjikan pengalaman menarik untuk rakyat Malaysia menikmati budaya autentik, hidangan lazat, dan hiburan penuh warna-warni.

Pesta ini diadakan bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Indonesia ke-79, sekali gus mengeratkan hubungan akrab antara Malaysia dan Indonesia yang telah lama terjalin.

Duta Republik Indonesia ke Malaysia, Dato’ Indera Hermono, menyatakan bahawa pesta ini adalah platform untuk memperkukuhkan hubungan perdagangan, pelancongan, dan persefahaman rakyat antara kedua-dua negara.

“Pesta ini tidak hanya mengetengahkan kekayaan seni dan warisan Indonesia, tetapi juga menjadi medan mengeratkan hubungan strategik antara pelbagai pihak,” katanya.

Acara ini dijangka menarik lebih 15,000 pengunjung dengan kemasukan percuma, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Pengunjung berpeluang meneroka destinasi pelancongan menarik seperti Bali, Lombok, Bandung, dan Kalimantan menerusi pameran Kementerian Pelancongan Republik Indonesia.

Hidangan autentik Indonesia seperti Nasi Padang, Soto Banjar, Ayam Gepuk, dan kopi popular turut menanti pengunjung di pesta ini.

Hiburan tanpa henti disajikan menerusi persembahan artis terkenal Indonesia, termasuk Devano dan Maria Theodore, yang turut hadir dalam sesi bersama peminat.

Pesta ini turut menampilkan penyanyi Allen Anderson, serta kumpulan muzik seperti Kureiji, Patriot, Erul Samah, dan JZ Vibes, yang mempersembahkan lagu-lagu galau dan kontemporari.

Selain itu, pengunjung boleh menikmati pameran seni dan kraftangan Indonesia serta berinteraksi dengan para pengkarya.

“Gebyar Nusantara adalah platform strategik untuk mempertemukan pemain industri pelancongan dan pengusaha kecil serta memperkukuhkan kerjasama Malaysia-Indonesia,” tambah Dato’ Indera.

Untuk maklumat lanjut, layari Facebook Kedutaan Besar Republik Indonesia di https://www.facebook.com/IndonesianEmbassyKualaLumpur.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page