Gandingan Hebat Yonnyboii dan Jobranko dalam Lagu “Nadi”
Penyanyi Yonnyboii kembali lagi dengan lagu baharu yang pasti menyentuh hati, bertajuk “Nadi”. Kali ini, Yonnyboii menampilkan sisi rock jiwang yang mendalam, dengan gandingan hebat bersama pemain gitar tersohor, Jobranko.
Yonnyboii mengakui bahawa lagu ini sangat istimewa kerana ia terinspirasi daripada perasaan peribadi. Lagu ini dicipta bersama komposer berbakat, Amy Bong, dan Yonnyboii yakin ia mampu menyentuh hati ramai pendengar.
“Bagi saya, dapat menyalurkan pengalaman peribadi dalam ‘Nadi’ memberi kelegaan yang besar. Saya pasti ramai di luar sana yang pernah merasakan perasaan yang sama. Saya mahu ‘Nadi’ ini dirasai secara peribadi dalam hati pendengar.
“Lagu ini mengisahkan tentang bagaimana saya berdepan keresahan dan ketakutan apabila berjumpa dengan orang baharu. Saya berharap mereka yang berdepan situasi serupa dapat menemukan kekuatan dalam diri untuk mengatasinya,” kata Yonnyboii dalam sebuah kenyataan akhbar oleh Def Jam Recordings Malaysia hari ini.
Yonnyboii juga berkata mesej utama dalam lagu itu adalah untuk menyuntik semangat hidup kepada pendengar dimana lagu itu juga menggambarkan bagaimana dirinya dihantui oleh perasaan tertentu dan berusaha untuk membebaskan diri daripadanya. Kesimpulannya, beliau cuba mengejar kebebasan.
Lebih mengujakan lagi, Yonnyboii berpeluang bergandingan dengan Jobranko, seorang legenda dari kumpulan Wings.
“Jobranko menjadi kekuatan terpenting dalam ‘Nadi’. Mainan gitarnya menghidupkan lagi lagu ini dan membawanya ke tahap tersendiri. Saya bangga dengan gabungan ini yang tercipta daripada dua generasi berbeza,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan akhbar yang sama, Jobranko juga berkongsi pandangannya mengenai kolaborasi ini, dimana beliau juga berkata yang kolaborasi ini memang tidak dijangkakan.
“Kolaborasi ini memang tidak dijangkakan. Saya bersyukur diberi peluang untuk beraksi dalam lagu ‘Nadi’ bersama Yonnyboii. Saya sangat menghargai kerana artis muda dan masih meningkat seperti Yonnyboii mengenali saya untuk membuat kolaborasi bersama-sama.
“Saya ucapkan terima kasih kepada produser Amy Bong, warga Universal Music Malaysia, dan pasukan Yonnyboii untuk kerjasama ini,” kata Jobranko, yang merupakan bekas anggota kumpulan rock terkenal Malaysia, Wings.
Sementara itu, baru-baru ini, Yonnyboii juga telah melancarkan muzik video (MV) bagi lagu “Nadi”, dengan sentuhan pengarah kreatif Andrew Lim. Menurutnya, MV ini sangat memuaskan hatinya kerana Andrew berjaya menggambarkan isi hatinya dengan cemerlang.
“Saya hanya memberikan panduan asas kepada Andrew mengenai konsep yang diinginkan, dan dia menghasilkan jalan cerita yang hebat. MV ini menggabungkan elemen ‘grunge’ dan rock yang saya mahukan,” kata Yonnyboii.
Maka dengan itu, Yonnyboii berharap “Nadi” mampu mengulang kejayaan lagu-lagu terdahulunya dan mesej dalam lagu ini dapat membekas di hati pendengar.
“Saya meletakkan harapan yang besar terhadap ‘Nadi’. Semoga lagu ini digemari ramai dan mesej yang cuba saya sampaikan dapat menusuk hati ramai pendengar,” katanya.
“Nadi” boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music pada 21 Jun 2024. Muzik video juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Yonnyboii pada 21 Jun 2024.