FTG Kembali Menggegar Pentas: Line-Up Baharu, Semangat Lama

Selepas sekian lama menyepi daripada pentas besar, legenda muzik keras tempatan FTG kembali dengan deruman yang lebih berat dan semangat yang diperbaharui. Kumpulan yang sinonim dengan era keemasan thrash metal Malaysia ini bakal beraksi dalam konsert “Metal Fighter” pada 16 Ogos 2025 di Warisan Hall Studio, Sijangkang, bersama sebuah lagi nama besar dalam sejarah rock tanah air, Sofea Legacy.
Konsert ini menjanjikan bukan sekadar hiburan, tetapi satu perjalanan lintas generasi dalam dunia muzik metal tempatan. Jika Sofea membawa warisan rock klasik yang menggugah, FTG pula tampil dengan suntikan semangat baharu menerusi barisan anggota yang lebih segar, namun masih berakar pada nilai muzik keras yang teguh.
Menurut Tajul selaku vokalis FTG, segalanya bermula dari panggilan mengejutkan seorang rakan lama.
“Sebenarnya, semuanya bermula daripada ‘tawaran’ Fancy,” kata Tajul, merujuk kepada gitaris Sofea Legacy. “Katanya, dia terfikir band mana lagi yang boleh digandingkan dalam sebuah konsert genre berbeza? Dia terus teringatkan FTG. Hubungan kami dah lama terjalin, sejak zaman belum siapa pun dikenali. Dialah yang ‘mengejutkan’ kami daripada lena.”
Namun, Tajul mengakui bahawa kebangkitan bukan sesuatu yang boleh dilakukan secara tergesa-gesa. Perlu ada persiapan, pemilihan anggota yang sesuai, dan hala tuju yang jelas.
“Bila tiba masa nak kembali bekerja, kenalah berhati-hati. Banyak yang perlu diatur supaya muzik FTG tetap utuh dan tak kehilangan identiti,” tambahnya.
Menjadi satu kejutan besar buat peminat, FTG kini tampil dengan formasi lima anggota, berbeza daripada empat teras asal mereka. Formasi ini menyuntik kembali tenaga dan kelainan dalam persembahan langsung mereka.

“Seperti biasa, kita ada saya sebagai vokalis, Mie di posisi bass, serta Jamboo dari DefGabC yang dah lama menjadi sessionist kami. Untuk posisi dram, kita bawa masuk Megat dari Madam, dan di posisi gitar kedua, Zoe dari Rockapak,” jelas Tajul.
Tajul, menambah bahawa perubahan ini bukan sekadar kosmetik tetapi satu strategi jangka panjang bagi memastikan kelangsungan muzik keras FTG.
“Mungkin ramai tertanya kenapa ada muka baharu. Sebenarnya, kami perlukan pelapis supaya muzik kami kekal segar dan relevan. Bukan bermakna yang lama tak bagus jauh sekali. Tapi susunan kali ini lebih sesuai dengan hala tuju kami sekarang.”
“Dulu kami berempat, sekarang berlima. Tujuannya nak padatkan bunyi FTG bagi menjadikannya lebih berat, lebih ‘jantan’,” katanya sambil ketawa.
“Metal Fighter” bukan tentang pertandingan, tetapi tentang kepelbagaian dan kekuatan muzik metal Malaysia. FTG dan Sofea Legacy membawa dua cabang berbeza yang lama dan baharu, yang klasik dan moden tetapi disatukan dalam satu pentas yang sama.
“Kami main genre berbeza daripada Sofea Legacy, jadi takkan bertembung. Kami hanya fokus untuk beri persembahan terbaik buat peminat. Insya-Allah semuanya akan berjalan lancar,” jelas Tajul.
Bila ditanya tentang berapa banyak lagu yang akan dipersembahkan?
“Oh, itu rahsia lah,” jawab Tajul sambil tersenyum. “Yang pasti, dalam sejam lebih tu memang kami akan main banyak. Standby saja lah!”

Dengan kombinasi tenaga muda, darah veteran, serta kesungguhan menghidupkan kembali semangat metal Malaysia, konsert Metal Fighter dijangka menjadi antara persembahan paling signifikan dalam kalendar muzik 2025. Ia bukan sekadar konsert, tetapi sebuah pengisytiharan bahawa metal tempatan kekal hidup liar, lantang dan legendaris.