September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Fourtwnty – Nalar 2023 The Album Tour Jadi Ubat Penggemar Di Beberapa Negeri Di Malaysia

2 min read
Spread the love

Sebuah perjuangan yang keras dan tidak mudah namun berbuah manis dengan satu demi satu pencapaian — daripada karya-karya yang digarap menjadi candu telinga juga jiwa sehingga menelurkan album yang suatu ketika dulu hanya sebuah mimpi.

Tanpa sedar, saat tembang Aku Tenang, Fana Merah Jambu, Kita Pasti Tua dan Zona Nyaman masih menjadi peneman penggemar, Fourtwnty siap memperkenalkan album ketiga.

Nalar, begitu judul album ketiga yang diisi 10 buah lagu. Maksudnya sederhana ; sentiasa, selalu, namun pengisian Nalar membawa mesej cukup besar.

Mengangkat mesej atau tema mengenai penderitaan seseorang hingga persoalan mental, Nalar tidak hanya mahu diperdengarkan lewat telinga dan mata di medium kaca televisyen juga telefon pintar tetapi Fourtwnty dengan bangga memperkenalkan album ini secara berdepan.

Fourtwnty – Nalar 2023 The Album Tour begitu dengan bangga diperkenalkan siri jelajah yang menyaksikan Ari Lesmana, Asep Nurohman, Andika Dwi Putra Arman, Primanda Ridho dan Ryan Maulana siap menyapa penggemar di beberapa kota atau negeri terpilih.

Lebih mengujakan Fourtwnty – Nalar 2023 The Album Tour menyaksikan kugiran yang dikenal dengan genre pop folk dan lirik puitis ini buat pertama kali memasukkan beberapa negeri di Malaysia dalam siri rangka promosi.

Sebelum Malaysia, Fourtwnty – Nalar 2023 The Album Tour terlebih dahulu menyapa penggemarnya di Capitol Theatre, Singapura pada 7 Oktober 2023.

Warga Pahang, siap-siap menyambut jaguh kalian pada 13 Oktober bertempat di SUKPA, Kuantan.

Buat penggemar di Johor Bharu yang telah lama menantikan Fourtwnty menebarkan pesona mereka di bandaraya ini, jangan sampai terlepas Nalar 2023 The Album Tour yang dijadual berlangsung di Persada Convention Centre, Johor pada 15 Oktober depan.

Fourtwnty – Nalar 2023 The Album Tour kemudian dibawa naik ke Utara, khususnya di Pulau Pinang pada 20 Oktober 2023 di Dewan Milenium, Pulau Pinang.

Tidak lengkap siri jelajah Fourtwnty – Nalar 2023 The Album Tour tanpa singgah di Kuala Lumpur. Maka siap sedia menyambut Fourtwnty di ZEPP Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada 22 November 2023.

“Melakukan siri jelajah di beberapa kota di Malaysia adalah sebuah rencana yang luar biasa mampu dilaksana Fourtwnty. Tidak kita sangka mimpi itu bisa dilaksana lewat album ketiga kami, Nalar setelah beberapa siri persembahan sebelum ini hanya di Kuala Lumpur.

“Sampai jumpa nanti, Nalar tidak sabar untuk diraikan bersama-sama,” ujar Ari Lesmana.

Larasuka telah menjadi senjata pertama dari Nalar yang terus membuai emosi dan melekat di jiwa.

Selain Nalar, album yang digarap bersama penerbit sekian lama yang bekerja dengan Fourtwnty, Andi, juga diisi dengan satu-satunya lagu bahasa Inggeris iaitu High.

Ia turut diisi dengan beberapa karya yang telah dirilis sejak 2020 iaitu Nematomorpha, Kursi Goyang dan Mangu yang memperkuatkan isi Nalar.

Bercakap tentang mesej mengenai penderitaan seseorang hingga persoalan mental yang diisi dalam Nalar, Ari menyifatkan album ketiga yang dirilis ini sebagai ubat.

“Nalar adalah sebuah ubat buat kalian yang mungkin punya sesuatu hal yang tidak bisa disembuhkan, ubat ini kami racik sedemikian rupa,” katanya.

Jangan sampai terlupa temujanji anda dengan Fourtwnty pada tarikh-tarikh dan destinasi yang ditetapkan.

Fourtwnty Malaysia:

13 October 2023 – SUKPA, Kuantan

15 October 2023 – Persada Convention Centre, Johor

20 October 2023 – Dewan Milenium, Pulau Pinang

22 November 2023 – Zepp, Kuala Lumpur


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page