Format Lebih Segar Edisi Anugerah Lagu Indie Musim Ke -4
Anugerah Lagu Indie (ALI) kembali untuk musim keempat dengan nafas baru untuk terus memberi penghormatan kepada bakat indie terbaik dalam industri muzik Malaysia.
Demi meneruskan agenda mengangkat martabat dan karya penulis lagu, pemuzik serta penyanyi indie tanah air sejak 2020, ALI tahun ini membawa beberapa kelainan iaitu dengan memperkenalkan kategori-kategori lagu terbaik di bawah tiga kategori genre iaitu Pop, HipHop, dan Rock, format pemarkahan yang melibatkan undian awam, serta peningkatan tawaran hadiah wang tunai daripada RM 16,000 pada musim lalu kepada RM 36,000.
Ahmed Faris Amir, Ketua Pegawai Eksekutif Rakita 107.9 berkata, “Rakita 107.9 akan terus kekal menjadi tulang belakang ALI dalam memperjuangkan pengiktirafan kepada muzik indie dengan harapan agar setiap karya yang dibawa ke platform ini akan diterima dengan lebih meluas oleh peminat muzik Malaysia. Kami juga mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan lebih ramai penggiat industri ini, supaya ALI akan sentiasa ada untuk menyokong generasi dan bakat muzik indie di masa akan datang.
” Pemuzik indie Malaysia yang berminat untuk mencalonkan lagu ciptaan mereka sendiri kepada ALI
adalah dijemput untuk berbuat demikian bermula dari 5 Disember ini sehingga 31 Januari tahun hadapan dengan menghantarkan penyertaan menerusi laman web rasmi, www.anugerahlaguindie.com.my.