October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Forevermore 2025 Jadi Perayaan Midnight Fusic & Peminat

Spread the love

Lebih 2,000 peminat membanjiri Zepp Kuala Lumpur pada 14 September lalu hanya untuk menyaksikan konsert penuh istimewa Midnight Fusic – Forevermore 2025. Malam yang dipenuhi sorakan, nyanyian beramai-ramai, dan momen penuh emosi ini menjadi bukti bahawa band indie-rock kesayangan ramai itu terus utuh sebagai suara generasi muda.

Seawal jam 6 petang, barisan panjang sudah terbentuk di luar Zepp. Ada yang datang berkumpulan bersama rakan, ada pasangan, malah ada keluarga yang membawa anak remaja mereka, semuanya dengan satu tujuan iaitu meraikan perjalanan muzik Midnight Fusic.

Saat lampu padam dan alunan “Intro” berkumandang, dewan seakan meletup dengan jeritan peminat. Medley pembuka “Time Machine + Sandiwara + WLWA” disambut dengan gegak gempita, dan ketika lagu ikonik “Off My Mind” dimainkan, suasana bertukar menjadi koir gergasi yang menyanyi serentak.

Selepas sesi awal penuh energi, konsert bergerak ke sisi lebih intim. “I Don’t Wanna Dream Tonight” menenangkan dewan dengan getaran melankolia, sebelum kehadiran Lunadira di pentas untuk “Vertigo” mencipta suasana magis yang membuatkan penonton terpaku.

Momen lain yang mencuri perhatian ialah apabila ribuan lampu telefon menyala sewaktu “Lovesick”, seakan mencipta galaksi bintang dalam dewan. Tidak ketinggalan, kemunculan Lil Asian Thiccie dalam “Summer Love” mengubah Zepp menjadi pesta warna-warni penuh ceria.

Dari “Cahayaku” yang syahdu hingga “One More Time”, “Upside Down” dan “Strangers” yang penuh ledakan, Midnight Fusic membuktikan mereka tahu cara membawa peminat meniti gelombang emosi adakalanya naik, turun, lalu kembali meletup.

Menjelang penutup, Midnight Fusic menghadiahkan lagu-lagu nostalgia untuk peminat lama: “Heart of May” dan “Caramel Cream”. Ramai dilihat menitiskan air mata, ada yang hanya tersenyum puas, sebelum malam ditutup dengan “Residue + Outro”, sebuah simbol bahawa walau konsert tamat, kenangan yang tertinggal akan terus hidup.

Konsert anjuran Oyollo Asia ini mendapat sokongan daripada est Cola, Kenangan Coffee, Borneo Springs, serta rakan media rasmi HITZ FM dan Astro Gempak. Dengan teknikal mantap oleh Laskar Sonas Productions dan PR & media diuruskan oleh Wake The Baby Records, setiap aspek acara berjalan lancar tanpa cacat cela.

Bagi Midnight Fusic yang dianggotai Arif Kamarudin (vokal/gitar), Adrian Danial (gitar/vokal), Firdaus Azmi (bass), dan Muaz Rabbani (dram), malam itu bukan sekadar konsert tetapi ia adalah perayaan perjalanan lebih sedekad mereka sejak mula ditubuhkan pada 2013. Dari rilisan indie di SoundCloud hingga ke pentas besar, lagu-lagu mereka kini menjadi runut bunyi kolektif buat ribuan peminat.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page