FOR YOU: NOURUL – Konsert Eksklusif Rai 30 Tahun Kerjaya Nourul Depp
Setelah lebih tiga dekad mempertahankan reputasi sebagai antara vokalis wanita paling bertenaga di Malaysia, Nourul Depp akhirnya bakal tampil dengan sebuah konsert eksklusif berskala besar berjudul “For You: Nourul”, anjuran Rong Geng Entertainment.
Konsert istimewa itu dijadualkan berlangsung pada 17 April 2026 di Zepp Kuala Lumpur, bermula jam 8 malam, dijangka menghimpunkan lebih 1,500 peminat, media, rakan industri dan komuniti seni tempatan.
“For You: Nourul” bukan sekadar konsert biasa, tetapi sebuah perjalanan nostalgia merentasi era 90-an hingga 2000-an, merangkumi suara, identiti serta evolusi muzik Nourul yang terus kekal relevan.
Produksi pentas moden, elemen visual premium serta susunan muzik baharu bakal memberikan nafas segar terhadap lagu-lagu popularnya. Antara segmen menarik termasuk Persembahan bertenaga dengan susunan muzik kontemporari, Segmen akustik “intimate storytelling” khas untuk peminat tegar, Kolaborasi eksklusif bersama pemuzik profesional dan Tribute visual mengimbau perjalanan seni dan pencapaian Nourul

Mengulas mengenai penganjuran konsert berskala besar itu, Nourul tidak dapat menyembunyikan rasa syukur dan emosinya.
“Ini impian yang lama tertangguh. Saya ingin beri sepenuh jiwa dan tenaga dalam konsert ini. Ia bukan sekadar hiburan ia adalah penghargaan kepada mereka yang menjadikan 30 tahun perjalanan saya bermakna,” katanya.
Nourul turut menegaskan bahawa konsert ini akan menjadi persembahan paling peribadi dan paling jujur sepanjang kerjayanya.

Pengarah Rong Geng Entertainment, Muhammad Fared Kuswadinata, berkata pihaknya mahu konsert ini menjadi malam yang dekat di hati penonton.
“Ini adalah perayaan kehidupan, ketabahan dan seni yang membentuk siapa Nourul hari ini. Kami mahu penonton merasai perjalanan itu secara visual, emosi dan muzik,” katanya.
Tiket konsert For You: Nourul ditawarkan pada harga RM105 – GOLD, RM155 – DIAMOND, RM255 – PLATINUM dan RM355 – VIP

Jualan tiket bermula 2 Disember 2025, jam 12 tengah hari melalui platform rasmi Ticket2U.
Maklumat tambahan mengenai konsert ini akan diumumkan dari semasa ke semasa.
