FLY V Kembali dengan Single Emosi “Dalam Satu” Sarat Kisah Perjuangan
Kumpulan underground tempatan, FLY V, meneruskan momentum kebangkitan mereka dalam arena muzik rock dengan memperkenalkan single terbaharu berjudul “Dalam Satu”, selepas penampilan mereka di Konsert Rentas Masa di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini.
Single tersebut mengangkat kisah perjuangan seorang insan hebat, disampaikan melalui vokal yang bertenaga serta susunan muzik yang lebih matang dan kemas. Dari segi produksi, “Dalam Satu” menampilkan kualiti yang membuktikan FLY V bukan sekadar sebuah kumpulan underground biasa, malah mampu berdiri sebaris dengan band moden lain dari segi bunyi dan persembahan visual.
Gabungan penyusunan muzik yang rapi, konsep visual moden serta penyampaian vokal yang mantap menjadikan lagu ini sebuah karya yang berupaya meninggalkan kesan emosi mendalam kepada pendengar. Ia juga dilihat sebagai satu perkembangan positif dalam perjalanan muzik FLY V yang semakin matang dari tahun ke tahun.
Sebelum ini, FLY V turut mencuri perhatian menerusi single “Bebas”, yang menerima sambutan memberangsangkan di Malaysia dan Indonesia. Dengan melodi yang kukuh serta pendekatan genre modern rock, lagu tersebut berjaya menarik minat peminat muzik rock kontemporari yang menghargai susunan muzik berkualiti dan matang.
Menurut vokalis merangkap pengasas FLY V, Ovie, kumpulan itu kini sedang dalam proses menyiapkan klip video lagu Raya untuk tahun 2026. Dalam masa yang sama, FLY V juga giat menyiapkan sebuah album penuh yang dijangka dilancarkan pada tahun hadapan.
Ditubuhkan pada tahun 1997, FLY V menjadikan modern rock sebagai identiti teras muzik mereka. Kumpulan ini dianggotai oleh Ovie selaku vokalis, Miji (gitar) dan Kama (gitar).
Muzik video rasmi “Dalam Satu” kini boleh ditonton di YouTube untuk peminat yang ingin menghayati sepenuhnya naratif dan emosi yang ingin disampaikan melalui karya tersebut.
Pautan MV “Dalam Satu”:
https://www.youtube.com/watch?v=KeU2G50voAs
