February 25, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Florence Lo Jelajah Sarawak, Kaji Trend Lagu Terkini

Florence ketika beraksi di Remin Bistro malam tadi...

Spread the love

Penyanyi lagu Iban Sarawak terkenal, Florence Lo, kini sibuk dengan pelbagai aktiviti menerusi syarikat produksi miliknya, Telanjing Sound Enterprise (TSE). Dalam masa yang sama, beliau masih menunggu masa yang sesuai untuk menghasilkan single terbaharunya.

Menurut Florence, beliau mahu memahami kehendak generasi pendengar masa kini sebelum mengeluarkan lagu baharu. “Saya mahu pastikan lagu yang dihasilkan dapat diterima oleh peminat. Saya juga sedang mengkaji sama ada lagu berunsur balada cinta masih relevan atau tidak,” katanya ketika ditemuramah di Remin Bistro di Kuching malam tadi.

Selain daripada itu, beliau juga meminta peminatnya agar bersabar dan terus menyokongnya dalam setiap aktiviti yang dijalankan. “Saya hargai sokongan peminat selama ini. Saya berharap mereka akan terus menyokong perjalanan seni saya,” tambahnya lagi.

Sementara menanti masa yang sesuai untuk projek baharunya, Florence kini giat mengadakan persembahan di seluruh Sarawak. Beliau menerima undangan daripada penganjur untuk menjayakan pelbagai acara hiburan.

Florence turut membawa barisan artis di bawah produksinya seperti Vyn Alvyn, Steward Empin, Fadzil, Richard Gorge, Barry, Bryan Ming, Stephen Mell, Bon Jovi Charles dan Donny untuk menjayakan siri jelajah tersebut.

“Kami bukan sahaja ingin menghiburkan peminat, tetapi juga mahu memeriahkan industri muzik tempatan. Saya mahu membantu bakat-bakat di bawah naungan TSE ini untuk lebih dikenali,” jelas Florence.

Selain itu, beliau turut menggunakan platform persembahan ini untuk berinteraksi dengan peminat dan mendapatkan maklum balas mengenai muzik yang mereka minati.

“Saya anggap ini sebagai peluang untuk belajar dan memahami selera muzik generasi sekarang,” katanya.

Florence yakin bahawa setiap keputusan yang diambil harus dilakukan dengan teliti bagi memastikan kualiti dalam setiap karyanya and beliau juga menekankan kepentingan menghasilkan karya yang berkualiti dan mempunyai nilai komersial yang tinggi.

“Saya tidak mahu terburu-buru. Apa yang penting, lagu yang dihasilkan nanti dapat memberi kepuasan kepada saya dan juga peminat. Saya juga yakin dengan perancangan yang baik, kita boleh membawa muzik tempatan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Untuk sesiapa sahaja yang ingin mengikuti perkembangan Florence, penyanyi terkenal dengan lagu-lagu popular seperti “Tebeleka”, “Ati Nuan, Ati Aku” dan “Pelandai Ujan Nerusan”, serta aktiviti-aktiviti terbaharu Telanjing Sound Enterprise, bolehlah mengikuti beliau di media sosial untuk mendapatkan maklumat terkini.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page