September 8, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Filem “Menjelang Ajal” Titip Pengajaran Dari Kisah Benar

3 min read
Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Apabila mendapat tahu filem ini adalah naskah terbaru dari Hadrah Daeng Ratu, saya disuntik rasa teruja pada eskpektasi tertinggi. Pecinta filem seram pastinya kenal benar dengan nama sutradara tersohor yang telah mencetak filem-filem seram Box Office seperti Jaga Pocong (2018), Makmum (2019), Sijjin (2023) dan Pemandi Jenazah (2024) ini. Belum lagi kehabisan idea buat Hadrah Daeng Ratu melahirkan karya-karya fenomena yang laris manis di pasaran. Tentunya kali ini, kualiti yang sama diharapkan dapat diperolehi dari Menjelang Ajal.

Sama seperti di Indonesia, filem bergenre seram memang selalu mendapat tempat di hati ramai penonton. Mungkin atas dasar itu, Hadrah Daeng Ratu tidak putus-putus menyajikan berbagai cerita seram dengan konsep yang berbeza. Seolah-olah ingin memecah rekod baru atau kerana sudah terlanjur jatuh hati pada projek filem seram yang sering diarahkan. Kembali bekerjasama dengan Rapi Films, Menjelang Ajal fokus pada kehidupan seorang ibu tunggal bernama Sekar (Shareefa Daanish) bersama 3 anaknya; Dani (Daffa Wardhana), Ratna (Caitlin Halderman) dan Dodi (Shakeel Fauzi).

Sekar kehilangan suaminya sejak anak bongsunya Dodi masih dalam kandungan. Sekar terpaksa membanting tulang sendirian dengan usaha membuka warung makan. Berusaha memberi yang terbaik demi kelangsungan hidup, namun Sekar telah menggunakan cara yang salah dan melakukan hal-hal terlarang untuk melariskan jualan warungnya. Sekar menyimpan rahsia dari anak-anaknya, iaitu menggunakan pelaris untuk warung makannya selama bertahun-tahun demi meraih ramai pelanggan dan keuntungan yang banyak.

Masalah bermula apabila Warung Nasi Bu Sekar mulai kehilangan pelanggan secara tiba-tiba. Di mata orang ramai warung terlihat kotor dan busuk. Bahkan ada yang melihat warung selalu tutup dan tidak pernah beroperasi. Nasi yang dijual cepat basi meskipun baru saja masak dan dihidangkan. Tak ingin warungnya terus bermasalah, Sekar memutuskan untuk mengunjungi Mak Ambar (Dewi Pakis), dukun yang memberinya Jin Pelaris. Bukan khabar baik yang diterima justeru dikejutkan dengan kematian Mak Ambar yang tidak terduga.

Malapetaka mulai menimpa apabila Jin Pelaris datang menuntut nyawa. Dani, Ratna dan Dodi berusaha sekuat tenaga untuk membantu ibu mereka dari kerasukan tiap malam. Filem garapan Hadrah ini berhasil sukses membongkar kisah benar yang terjadi dalam masyarakat. Memang ada restoran yang menggunakan ‘pelaris’ demi cepat kaya meski dunia sudah semakin moden. Adakah kita yakin restoran kegemaran yang kita selalu pergi dan sedap masakannya itu atas sebab apa?

Inilah konflik utama yang disajikan oleh filem Menjelang Ajal, sangat simple dan straight forward, menampilkan sisi klasik yang tidak membosankan kerana tampak realistik dengan mitos yang mewarnai plot cerita. Dari segi music scoring dan efek jumpscare berjalan seiring penuh dinamik, kalau menurut saya. Idea cerita ini menjadi sangat menarik kerana relevan dengan masyarakat melayu. Mungkin bagi yang pernah ada pengalaman rugi berniaga akan terasa sangat relate dengan filem Menjelang Ajal ini. Sekar menjadi gambaran manusia yang terpaksa menanggung akibat atas kekhilafan sendiri, berani menyekutukan Tuhan maka harus bertanggungjawab dan mendapatkan balasannya.

Menjelang Ajal menitipkan pengajaran dan nasihat yang baik kepada penonton, bahawa seseorang yang berani melanggar aturan Tuhannya, maka tidak akan pernah mendapatkan keselamatan di dunia dan akhirat. Sesuai dengan judul, Sekar terpaksa berhadapan dengan begitu banyak kesulitan ketika menjelang ajalnya. Harus merasakan kesakitan berulangkali, tersilap langkah membuat dirinya tersiksa sehingga akhir hayatnya. Lakonan mantap Shareefa Daanish diperakui menjadi bumbu pelengkap yang begitu lazat dalam filem ini. Meskipun saya kerap terkejut dan melatah dengan jumpscare-nya, tidak dinafikan ia muncul tepat waktu.

Menawarkan dua sisi yang berbeza iaitu efek meremang bulu roma, nuansa terkejut dan ngeri yang akan disenangi para pecinta filem hantu. Manakala di sisi lain juga memberikan rasa sayu penuh emosi bonding anak beranak yang menghiris hati penonton dalam masa yang sama. Sama sekali tidak mengecewakan, performa Menjelang Ajal memang sepatutnya buat anda semua segera ke pawagam. Ajak ramai-ramai tonton bersama supaya kurang sedikit rasa takutnya.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page