September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Filem ‘Mencari Ramlee’ Demi Memperingati Lagenda P. Ramlee

5 min read
Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Baru-baru ini telah diadakan sebuah Majlis Tahlil dan Bacaan Yassin sempena Ulangtahun Kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada 22 Mac 2024 bertempat di Masjid Teras Jenang, Bandar Baru Bangi. Majlis yang berlangsung sederhana tetapi meriah itu turut disertai oleh penampilan khas para pelakon dari filem ‘Mencari Ramlee’ iaitu sutradara dan pelakon Megat Sharizal, teraju utama Tony Eusoff, Datin Sofea Jane dan juga Ilham dari band Pitahati yg juga merupakan anak kepada komposer terkenal Datuk M. Nasir.

‘Mencari Ramlee’ merupakan filem sulung arahan Megat Sharizal yang meneroka cabaran dan struggle yang dihadapi artis tempatan pada era 70an akibat perubahan zaman dan bagaimana untuk mempertahankan kerjaya seni mereka. Filem fiksyen berinspirasikan dari cerita kehidupan lagenda Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang menikmati kemasyhuran dan kekayaan selama bertahun-tahun sebagai pelakon, pengarah dan pemuzik popular.

Namun menjelang akhir hayatnya, beliau tidak dapat mencari pekerjaan selepas berpindah dari Singapura ke Malaysia pada tahun 1964. Ini mengakibatkan merosotnya populariti sehinggalah beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1973. Selain dari nama-nama besar yang disebutkan di atas, filem ini turut dibintangi oleh Mimi Lana, Amerul Afendi dan Iedil Putra serta penampilan khas Beto Kusyairi dan ramai lagi.

“Idea tercetus dah lama sejak 2012 lagi cuma pada waktu itu ada filem lain yang terlebih dahulu lulus untuk diterbitkan tetapi saya masih nak proceed dengan idea ini.” bicara Megat Sharizal ketika ditemui pada malam itu. “P. Ramlee adalah idola saya, punca saya terlibat dalam bidang perfileman pun disebabkan beliau. Dari lahir buka mata saya telah didedahkan dengan filem P. Ramlee. Namun ada kekangan di Malaysia sedikit sukar untuk buat filem biografi, oleh itu saya fikir mungkin saya boleh buat filem mengenai P. Ramlee tetapi di‘fiksyen’ kan filem itu, dimana apa yang berlaku dalam filem ini berlaku pada zaman kejatuhannya.”

“Ramai mengingati P. Ramlee ketika zaman kegemilanganya namun tidak ramai yang tahu bagaimana keadaannya sewaktu dilupakan. Saya tekankan isu ini kerana ianya mungkin bukan terjadi pada P. Ramlee sahaja, malahan terjadi juga pada seniman-seniman yang lain.” sambungnya lagi. “Saya ulangi ini bukan filem biografi, ianya adalah fiksyen yang menggunakan P. Ramlee sebagai subjek utama. Apa yang berlaku dalam filem ini adalah 100% fiksyen, tidak menyentuh tentang kehidupan P. Ramlee yang sebenar.” Megat Sharizal juga memberitahu target utama untuk filem ini ditayangkan di pawagam adalah pada September tahun ini sekiranya tiada aral melintang.

Megat Sharizal juga berharap agar filem ‘Mencari Ramlee’ dapat merangsang perpaduan dan sokongan antara artis tempatan serta memecahkan stigma bahawa filem Malaysia ditakdirkan untuk menerima nasib buruk. Berbeza seperti kebiasaan Malam Gala yang diadakan di pawagam sebelum ini, kali ini memilih untuk pra-pelancarannya di Masjid Teras Jernang. Tony Eusoff yang turut sama berada di situ berkata, “Saya terasa begitu indah suasana di Masjid ini. Saya rasa lebih kepada silaturrahim yang autentik dengan memilih masjid berbanding di pawagam. Kalau buat di tempat yang komersil biasanya tidak memberi satu ketenangan, berbeza dengan apa yang saya rasa di sini.”

Mengakui memikul cabaran besar memainkan watak Ramlee, Tony bercerita lagi, “Setahun sebelum penggambaran Megat Sharizal sendiri menghubungi saya untuk tawarkan watak ini. Mengenali beliau lebih dari 20 tahun, saya berasa sangat terharu kerana kepercayaan yang diberi. Saya juga percaya dengan hasil karya yang pernah dihasilkan beliau, antara salah seorang dari fiction creator yang sangat bagus.” Begitu teruja dengan naskhah ini, Tony akui beliau sangat kagum dengan jalan cerita sehingga memberikan metafora sanggup bayar untuk berlakon di dalam filem ini. Sehingga begitu sekali. “Apatah lagi dapat peluang berlakon bersama seorang lagenda seperti Sofea Jane. Ini merupakan pertama kali saya bekerjasama dengan Sofea Jane walaupun saya dah lama kenal beliau. Satu peluang yang takkan saya lepaskan. Beliau mempunyai etika kerja yang sangat bagus sehinggakan memberi inspirasi untuk mendorong saya memberi yang terbaik.”

Pernah memegang watak P. Ramlee sebelum ini didalam biopic ‘Saloma’ dan juga pementasan teater di dalam ‘P. Ramlee The Musical’, tidak dinafikan ianya sedikit sebanyak memberi Tony Eusoff penjiwaan dalam mempersembahkan replikasi personaliti dan karektor P. Ramlee. Seorang yang begitu merendah diri dan berbakat besar, Tony mengharapkan ‘Mencari Ramlee’ dapat mencetus satu budaya perfileman yang baru kerana ianya tidak melibatkan apa-apa sentimen, sekadar untuk menghiburkan disamping pesan supaya sentiasa mengingati ‘ikon lagenda tanahair’ kita iaitu P. Ramlee yang mungkin telah dilupakan oleh generasi baru.

“Tak boleh salahkan juga generasi baru kerana terlalu banyak pengaruh daripada luar. Apabila terlalu terdedah dengan negara luar, mungkin akan lupa nilai-nilai kesenian yang ada sebelum ini. Kalau boleh, jangan lupakan. Gunakan sebaik mungkin dan hidupkan semula.” begitu bersemangat sekali Tony bercerita. “Saya banyak belajar dari generasi baru, vice versa juga lah.”

Sementara itu, Datin Sofea Jane yang turut melahirkan rasa gembira menjadi watak utama bernama Zaiton bagi filem ‘Mencari Ramlee’ ini. Terjalin persahabatan di antara Zaiton dan Ramlee, dimana persoalannya adakah ianya akan membuih cinta. “Apabila saya membaca naskhah ini, ianya adalah dialog yang telah pernah dilihat berzaman-zaman. Bukanlah sesuatu yang kekok atau renggang dari diri saya. Oleh kerana filem ini bernuansa 60an dan 70an, saya dapat melalui satu proses dimana saya discover pelbagai aspek estetik wanita pada ketika itu dari segi pemakaian, percakapan dan kemanusiaan mereka.”

“Saya akrab dengan karya yang saya suka, tidak kira orang baru atau orang lama dalam industri. Yang paling penting naskhah itu mampu buat saya gelak, buat saya rasa gembira, buat saya rasa ini adalah sesuatu yang sangat fresh dan tidak pernah saya tonton sebelum ini. Itu antara kriteria yang saya pilih dan menarik perhatian saya.” ujar Datin Sofea Jane ketika ditanya mengapa dilihat agak selektif apabila memilih karya untuk dilakonkan. “Filem ini wajib tonton bagi peminat setia P. Ramlee kerana ianya tidak sama dengan filem sebelum ini. Ia meraikan karya-karya tidak kira filem, penulisan dan lagu. Ianya meraikan insan yang bernama Puteh Ramli.”

Penglibatan Pitahati dalam pembikinan muzik untuk filem ini, dari segi OST, skor dan apa-apa yang berkaitan dengan muzik. “Apa yang menariknya kali ini ialah banyak kolaborasi dengan penyanyi dan pemuzik lain.” ujar Ilham penyanyi dari band Pitahati. “Cabaran saya ialah perlu mendapatkan vibes dan jiwa zaman 70an bersesuaian plot cerita. Saya terpaksa korek balik muzik-muzik seperti Ahmad Jais, Ismail Harun, mereka adalah pelopor yang mewujudkan evolusi muzik di Malaysia. Transisi tu yang saya cuba dapatkan. Tak boleh cerita lebih-lebih, tapi transisi itu adalah intipati filem ini.”

Pada era itu banyak dipengaruhi muzik dari The Beattles dijadikan panduan dalam filem ‘Mencari Ramlee’ ini. Terdapat 5-10 lagu yang telah siap dan boleh menjadi satu album lengkap. Lebih banyak tertumpu pada muzik klasik dalam kolaborasi menjadikan keunikan yang dapat disalurkan ke dalam filem ini. Jangan lupa nantikan kemunculannya di pawagam seluruh Malaysia pada bulan September tahun ini. “Sebuah filem ‘tribute’ yang banyak menyentuh konflik seorang seniman, wajib tonton!” kata Ilham mengakhiri bicara pada malam itu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page