November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Filem ‘Korsakoff’ Buat Penonton Hampir Psycho

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Ketika majoriti penonton gemar berpusu-pusu pergi menonton wayang bergenre seram, lain pula halnya dengan filem thriller psikologi. Meskipun ada penggemar tetapi kurang popular. Perasaan takut yang menyelinap lewat permainan otak berlegar-legar lama dan melekat di situ. Tertanya-tanya mengapa begini mengapa begitu, meneka ini meneka itu, mind-game menyesakkan otak yang sengaja didatangkan dengan skrip mengelirukan. Tidak ramai khususnya penonton di Malaysia yang suka berfikir, tidak ramai yang mahu bersusah-payah mencungkil misteri, sejenis ketakutan ‘lambat terbakar’ yang harus disertai dengan sabar.

Menonton filem Korsakoff, saya jangkakan ramai yang tidak dapat membezakan antara ‘suspense’ (cemas) dan ‘surprise’ (kejutan). Cukup mengelirukan dengan plot-twist berbelit-belit dan watak yang samar-samar. Maka tidak hairanlah, antara faktor kuat yang menobatkan naskhah karya asli produksi tempatan dari D Alpha Legacy ini sebagai pemenang bagi kategori khas ‘Best Physcological Film’ di Anugerah berprestij Cannes World Film Festival (CWFF) dan yang paling mutakhir, pemenang anugerah di World Film Canival-Singapore (WFCS) yang ke-33.

Syabas dan sekalung tahniah buat seluruh tenaga kerja produksi D Alpha Legacy di atas kerja keras dan keberanian mengambil risiko untuk menghasilkan kelainan melalui Korsakoff. Ternyata lakonan hebat pelakon-pelakon handalan terasa sangat berbaloi sehingga diiktiraf dimata dunia oleh juri-juri professional antarabangsa. Dibintangi oleh barisan pelakon tersohor yang pernah memenangi anugerah sebelum ini seperti seniwati Erra Fazira, Ning Baizura, Azhan Rani dan Iqram Dinzly, memperkukuhkan lakonan watak utamanya ‘Jelita’ yang cemerlang dibawakan oleh pendatang baru, Elly Arifin.

“Mulanya sekadar cuba nasib hantar penyertaan, tak sangka akhirnya dimaklumkan sebagai pemenang untuk bulan Ogos bagi kategori ‘Best Psyhological Film’. Negara lain banyak juga yang hantar karya mereka namun nasib berpihak kepada kami, alhamdulillah.” ujar Nur Aminahtul Marrdiah Md Nor, selaku pengasas D Alpha Legacy. Mengambil masa kira-kira 15 hari bagi proses penggambaran yang dijalankan ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak termasuk sessi lakon layar yang memakan masa 4 bulan lebih.

Filem arahan sutradara Opie Zami, menelan bajet sebanyak RM500 ribu, naskhah tulisan Diyana Ismail dan Aminahtul sendiri, mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang wanita bernama Jelita yang menderita penyakit ‘Korsakoff’ atau gangguan hilang ingatan yang berpunca kerana kekurangan vitamin B1. Jelita telah diculik sekumpulan orang ‘membalas dendam’ tanpa dia sendiri menyedarinya. Meskipun sindrom penyakit ‘Korsakoff’ jarang didengari, namun ianya wujud di kalangan kita. Membabitkan defisit ingatan, kekeliruan dan perubahan tingkah laku, karektor pesakit Korsakoff ini menyerupai variasi amnesia tahap kronik.

Itulah pendekatan yang cuba D Alpha Legacy serapkan dalam memberi pemahaman kepada masyarakat Malaysia secara am, melalui platform filem di pawagam yang menghiburkan. Walaupun telah terlebih dahulu dipertontonkan dihadapan juri-juri professional antarabangsa untuk dinilai, rakyat Malaysia akan berpeluang menontonnya secara rasmi dan eksklusif ‘Di Pawagam Rumah Anda’ di Astro First bermula 14 Mac 2024 nanti.

Saya puji lakonan hebat pendatang baru Elly Arifin yang pertama kali memegang watak utama, kerana saya dapat merasakan derita dan struggle yang dihadapinya dalam menjayakan watak tersebut. Elly sendiri menceritakan setiap adegan yang dilihat adalah kejadian sebenar. “Saya memegang watak utama yang sangat berat buat pertama kali. Terlebih dahulu saya minta maaf sekiranya lakonan saya tidak mencapai ekspektasi penonton, ini adalah proses pembelajaran saya. Asalnya saya bukan seorang pelakon. Saya seperti yang semua tahu adalah seorang pengacara dan wartawan hiburan. Jadi apabila passion terhadap lakonan itu wujud dalam diri, saya sahut cabaran yang diberi dengan penuh tanggungjawab.”

“Saya memang kena dera, kena gantung seperti itik salai dalam filem ini. Tak pernah difikir dek akal kalau jadi pelakon kena buat sampai macam ni?” cerita Elly dalam intonasi tidak percaya. “Saya sebenarnya berasa sangat rendah diri apabila digandingkan dengan nama-nama besar seperti Iqram Dinzly, Azhan Rani, Erra Fazira dan Ning Baizura Saya yang kerdil ni pegang watak utama. Saya sendiri yang suruh kalau nak tunjal kepala saya, tunjal betul-betul. Kalau nak tarik rambut, tariklah betul-betul biar rasa. Kalau tolak, tolaklah. Saya memang jatuh betul-betul sampai lebam kat pinggang. Macam ni rupanya nak jadi pelakon.” tambah Elly lagi.

“Masalah mental dan tekanan jiwa semakin menjadi-jadi sekarang ini. Saya membuat comeback setelah sekian lama tidak berlakon kerana dalam filem ini saya diberi peluang membawa watak melayan karenah orang sakit jiwa, memberi kesedaran kepada kita semua bahawa masalah ini semakin meruncing dalam masyarakat kita.” ulas Iqram Dinzly ketika ditemui pada petang sidang media 6 Mac 2024 bertempat di TGV Pavillion Bukit Jalil baru-baru ini. “Elly berjaya pujuk dan yakinkan saya untuk ambil watak ini.”

Jangan lupa saksikan sendiri filem ‘Korsakoff’ di pawagam rumah anda yang bakal ditayangkan di Astro First bermula 14 Mac 2024 ini. Amaran dari saya, harus hati-hati menonton filem ini, jangan sampai diri sendiri hampir psycho dibuatnya…


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page