September 8, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Filem ‘Game of Life’ Adaptasi Puncak Kemasyhuran Soloz Dalam Mobile Legends

3 min read
Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Menjadi inspirasi disebalik kisah perjalanan hidupnya sebagai pemain e-sukan terkemuka negara, Soloz atau pemilik nama sebenar Muhammad Faris Zakaria, mencetuskan ilham buat Key Billions Sdn Bhd untuk memproduksikan sebuah filem terbaru. Diberi judul ‘Game of Life’, filem tempatan pertama bertemakan e-sukan yang akan membawa penonton menyelami pengalaman Soloz dalam menempuh pelbagai cabaran sehingga berjaya menempa nama sebagai antara pemain professional terkenal lewat kancah permainan video mudah alih, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).

Turut memaparkan persaingan sengit antara TheBoss dengan sebuah pasukan dari Singapura iaitu Vengeance, intipati cerita ‘Game of Life’ memberi edukasi tentang nilai-nilai persahabatan, semangat kesukanan dan persaingan yang sihat kepada Soloz dan rakan-rakan sepasukannya dalam menjadikan ia sebagai batu asas kepada kejayaan mereka. Dianggarkan akan mengambil masa selama 12 bulan untuk disiapkan sepenuhnya serta menelan kos biaya sekitar RM8 juta. Skop Productions memikul tanggungjawab sebagai pengedar rasmi manakala Frame Motion Studio turut berkolaborasi dari segi efek khas.

“Saya yakin filem ‘Game of Life’ ini mempunyai potensi besar untuk menjadi filem tempatan yang berjaya.” ujar Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), YBhg Dato’ Kamil Othman yang ditemui pada majlis berbuka puasa dan sidang akhbar bertempat di Connexion Conference & Events Centre, Bangsar South pada 26 Mac 2024. “Ini kerana populariti permainan video mudah alih MLBB yang mencatat purata pemain seramai 5.2 juta orang sehari di seluruh dunia.”

Beliau juga telah menyempurnakan pelancaran filem ‘Game of Life’ petang itu, turut didampingi barisan pelakon yang membintangi filem tersebut iaitu Hun Haqeem, Ikmal Amry, Jaa Suzuran, Jiha Sham dan Hafeez Mikail. Hun Haqeem bakal menerajui watak utama sebagai Soloz manakala Ikmal Amry akan mendukung watak antagonis, pertama kali buatnya untuk karektor lakonan di dalam filem.

Bakal berada di bawah arahan sutradara Syafiq Yusof, cukup terkenal dengan karya-karya terdahulu seperti trilogi ‘Abang Long Fadil’ dan ‘Polis Evo 3’, Syafiq berkata, “Saya percaya filem yang terinspirasi dari kisah perjalanan hidup Soloz akan menggamit perhatian anak-anak muda dalam bidang gaming dan e-sukan. MLBB sangat popular bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia dengan jumlah muat turun global yang mencecah lebih daripada 1 billion.”

Key Billions telah memeterai penjanjian penggunaan hakcipta bersama pencipta permainan mudah alih MLBB, Moonton Games yang berpengkalan di Shanghai, China, sekaligus merealisasikan penghasilan filem ‘Game of Life’ ini. MLBB mencatat jumlah penonton melebihi 530 juta orang pada tahun 2023, berdasarkan statistik eSports Charts,  menjadikannya permainan video mudah alih paling ramai ditonton tahun lepas.

Untuk makluman, Key Billions merupakan sebuah pemain dinamik baharu dalam industri pembikinan filem Malaysia. Menggabungkan perspektif baharu dengan pengetahuan dan pengalaman bersama dalam seni dan perniagaan filem, Key Billions ditubuhkan oleh pasukan professional yang berpengalaman luas. Komited untuk meneroka dan mencabar batas-batas dalam pembikinan karya kreatif berdasarkan naratif yang menarik, Key Billions berhasrat untuk menjadi sebuah kuasa besar dalam dunia hiburan tanahair.

Nama Soloz mulai meningkat naik apabila menceburi arena kompetitif Mobile Legends sejak 2017. Antara pencapaian Soloz dalam dunia penstriman langsung termasuklah Anugerah Pencipta Kandungan Facebook yang Paling Banyak Menerima Jumlah Tontonan di Malaysia yang dimenanginya pada Julai 2019 dan menerima pengiktirafan dari Malaysia Book of Records sebagai pemegang rekod yang mempunyai Pengikut Facebook (e-Sukan) Paling banyak pada Mei 2020.

“Kerjasama ini bakal memberi kefahaman bahawa permainan eSports ini bukan sahaja satu permainan video bahkan ianya setara dengan apa saja permainan berbentuk sukan yang menyihatkan serta mampu menjana pendapatan tinggi.” ulas Yumi Wong selaku pemilik bersama Key Billions. Berdasarkan sumber butiran dari laman e-sukan eSports GG, jumlah pemain di seluruh dunia yang mencatat purata 85 juta orang setahun semenjak tahun 2021 sehingga 2023, memperlihatkan potensi tinggi untuk ‘Game of Life’ melonjak sehingga ke persada antarabangsa.

‘Game of Life’ dijangka bakal menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur selepas raya nanti dan disasarkan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada pertengahan Januari 2025.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page