FFM ke 33 Bertemakan ‘EMAS’ – Evolusi Sinema Malaysia
Filem Imaginur Mendominasi 15 Kategori, Filem Abang Adik Mendominasi 11 Kategori
Foto Kredit: FINAS
Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) yang bertemakan ‘EMAS – Evolusi Sinema Malaysia’ bakal mengangkat bakat tempatan serta pencapaian filem Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 104 penyertaan telah diterima dengan 95 pencalonan layak bertanding merangkumi 64 filem cereka, 20 filem pendek dan 11 filem dokumentari.
“Pemenang 27 kategori bakal menerima wang tunai RM5,000 dan trofi manakala pemenang Anugerah Khas bakal menerima RM10,000 dan trofi. Anugerah Filem Terbaik pula akan menerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000.
“FFM33 turut memperkenalkan 57 program sisipan interaktif dalam tiga teras utama iaitu Film Biz yang menyokong pelaburan dan kolaborasi industri; Pembudayaan Sinema-Tayangan dan apresiasi bersama-sama komuniti dan serta eningkatan profesionalisme menerusi program latihan dan bengkel,” ujarnya pada Majlis Perasmian FFM33 yang berlangsung di FINAS pada 22 November lalu.
Dalam majlis yang sama, Filem Imaginur menerima pencalonan tertinggi dengan 15 kategori. Filem arahan Nik Amir Mustapha itu mendominasi FFM 33 yang mempertandingkan 24 kategori secara keseluruhan.
Imaginur yang mempamerkan lakonan Beto Kusyairy dan Diana Danielle tercalon dalam kategori Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Pelakon Wanita Harapan, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Poster Terbaik dan Sinematografi Terbaik.
Selain itu, filem terbitan Lumatic Films Sdn Bhd itu turut membolosi kategori Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penyunting Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Filem Terbaik.
Penganjuran FFM 33 turut menyaksikan filem Abang Adik arahan Jin Ong, meraih 11 pencalonan dalam kategori yang dipertandingkan.
Antaranya Pengarah Harapan, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Harapan dan Lakon Layar Terbaik.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi), Mano Verabathran; Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman, Ketua Pengarah Penyiaran
Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman dan Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.
FFM33 turut memperkenalkan 57 program sisipan interaktif dalam tiga teras utama, iaitu Film Bizz, Pembudayaan Sinema dan Peningkatan Profesionalisme.
Malam Anugerah FFM 33 bakal berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media pada 7 Disember ini jam 9 malam.