Festival Muzik OOO 2025 Tawar Gabungan Muzik Dinamik, MASDO Anggap Medan Panas Badan Sebelum Konsert Ulang Tahun

Festival Muzik OOO 2025 yang bakal berlangsung pada 1 Julai depan di Heritage Valley, Kuala Lumpur, menjanjikan sebuah pengalaman muzik yang unik dan dinamik dengan menampilkan gabungan genre pop, hip-hop, indie dan rock dalam satu malam istimewa.
Acara anjuran OPPO Malaysia dengan kerjasama Warner Music Malaysia ini menghimpunkan barisan artis tempatan berpengaruh seperti Noh Salleh, MASDO, Bunga, Luqman Podolski, Zynakal, TUJU, Naki, emptypage., Iman Troye, FUGŌ, Jo Vynn, Priscilla Abby dan Steadygang.
Bagi kumpulan MASDO, festival ini merupakan medan pemanas badan sebelum menjayakan konsert berskala besar bersempena ulang tahun ke-10 penglibatan mereka dalam industri muzik tanah air yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos 2025.
“Sebenarnya ada yang menarik perhatian kami untuk menyertai Festival Muzik OOO 2025 kerana barisan penyanyi yang terlibat juga hebat dan mempunyai pengaruh tersendiri. Rugi jika kami tidak turut serta untuk bersama-sama menghiburkan peminat,” kata vokalis MASDO, Ali, mewakili anggota lain, Ceri dan Mawi.
“Kami anggap ini sebagai acara pemanas badan sebelum konsert ulang tahun kami. Insya-Allah, ada sesuatu yang menarik akan diumumkan kepada peminat pada malam tersebut,” tambahnya.
Festival ini turut menjadi platform pelancaran rasmi siri baharu telefon pintar OPPO Reno, yang menggabungkan elemen muzik, gaya hidup dan teknologi dalam satu sambutan penuh inovasi.
Menurut Pengarah A&R Warner Music Malaysia, Raqeem Brian, penganjuran festival ini adalah langkah untuk menghargai dan meraikan bakat seni tempatan yang semakin menyerlah.
“Festival Muzik OOO 2025 bukan sekadar konsert, tetapi satu sambutan budaya yang menyatukan orang ramai melalui muzik, kreativiti dan inovasi. Kami berbangga dapat bekerjasama dengan OPPO bagi menjayakan acara sulung ini,” katanya.
Acara yang dijadualkan bermula jam 6 petang hingga 11:30 malam itu turut menampilkan pelbagai aktiviti sampingan seperti gerai makanan dan minuman, serta pameran interaktif jenama-jenama terlibat.

Antara tarikan tambahan festival ialah kandungan digital eksklusif bertajuk ‘Roda Karaoke’, kolaborasi antara OPPO dan Proton e.MAS, yang menampilkan artis-artis terlibat dalam gaya karaoke carpool, termasuk MASDO, Bunga, Noh Salleh dan FUGŌ. Penonton turut berpeluang melihat lebih dekat model kenderaan elektrik Proton e.MAS di booth khas yang disediakan.
Tiket festival dijual pada harga RM50, memberikan akses kepada pengalaman hiburan yang menyatukan muzik bertaraf tinggi dan gaya hidup moden dalam satu acara padat dan menghiburkan.