February 11, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Festival Belia Terbesar Asia Singgah Di KL Julai 2026

Spread the love

Kuala Lumpur bakal menjadi pentas pertemuan ribuan belia dari seluruh Asia apabila Asian Youth Festival 2026 (AYF 2026) diumumkan secara rasmi sebagai antara acara belia terbesar sempena Visit Malaysia Year 2026 (VMY2026).

Festival anjuran Explorers World Ventures Sdn Bhd itu diumumkan pada majlis pelancaran dan sidang media yang berlangsung di Saloma Kuala Lumpur hari ini, dengan perasmian oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YB Tuan Chiew Choon Man.

Turut hadir ialah Ketua Sekretariat Visit Malaysia Year 2026 (VMY2026), Tuan Mohd Akbal Setia, wakil MOTAC dan Tourism Malaysia, rakan strategik industri, selebriti jemputan serta pengamal media.

Dalam ucapannya, Tuan Chiew Choon Man menyifatkan penganjuran Asian Youth Festival sebagai satu inisiatif penting yang mampu memperkukuh peranan Malaysia sebagai destinasi pelancongan belia dan budaya serantau.

“Kami berbangga melihat sektor swasta tampil dengan idea festival berskala besar yang bukan sahaja kreatif, malah menyokong sepenuhnya agenda Visit Malaysia Year 2026,” katanya.

Beliau turut percaya penglibatan belia Asia menerusi festival berkonsepkan hiburan, inovasi dan budaya mampu memberi kesan positif kepada ekonomi pelancongan negara.

“Program belia yang pelbagai dan berimpak tinggi seperti ini mampu menarik kehadiran pelancong muda serta menjadikan Malaysia sebagai pusat pertemuan budaya Asia,” tambahnya.

Asian Youth Festival 2026 yang mendapat sokongan rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan berlangsung selama tiga hari, dari 10 hingga 12 Julai 2026, bertempat di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), Sungai Besi.

Festival berskala mega ini menyasarkan penyertaan ribuan belia dari pelbagai negara Asia dengan mengetengahkan gabungan muzik, e-sukan, budaya pop, fesyen, makanan, kepimpinan dan inovasi digital dalam satu platform komprehensif.

Pengasas bersama festival, Chris Avinash, berkata AYF 2026 dirangka sebagai festival belia yang meraikan semangat muda dan kepelbagaian Asia.

“Asian Youth Festival 2026 bukan sekadar hiburan. Ia adalah ruang di mana belia Asia boleh berkongsi idea, budaya dan inspirasi, sambil membina persahabatan merentas sempadan,” katanya.

Menurutnya, festival ini direka khas oleh generasi muda untuk generasi muda, selari dengan gaya hidup, minat dan aspirasi belia masa kini.

Sementara itu, pengasas bersama Marina Abdullah berkata AYF 2026 akan menghidupkan suasana festival dari siang hingga malam dengan pelbagai aktiviti berteraskan pengalaman.

“Daripada persembahan pentas, reruai interaktif, tetamu antarabangsa, pertandingan dan pameran, AYF 2026 akan menjadi hab kreativiti dan kolaborasi belia Asia,” katanya.

Sebanyak tujuh zon utama akan dibangunkan merangkumi kawasan melebihi 1.2 juta kaki persegi, sekali gus menjadikan festival ini antara acara belia terbesar pernah dianjurkan di negara ini.

Antara zon yang bakal menjadi tarikan ialah Konsert Muzik Asia yang menampilkan artis pelbagai genre termasuk Pop, Rock, Tradisional Fusion, Hip-Hop, EDM, Indie dan K-Pop, selain Arena e-Sukan yang mempertandingkan Mobile Legends dengan hadiah menarik.

Festival ini turut menampilkan Zon ACG dan TCG untuk peminat anime, komik dan permainan kad dagangan, Fashion Street bagi mengetengahkan pereka muda dan fesyen jalanan, serta Asian Food Village yang menawarkan pelbagai sajian autentik dan fusion dari seluruh Asia.

Tidak ketinggalan, Youth Engagement Zone yang memfokuskan sesi bual bicara, bengkel dan perkongsian berkaitan kepimpinan, inovasi serta keusahawanan belia, selain Kejohanan Pickleball Asia yang terbuka kepada penyertaan serantau.

Asian Youth Festival dipersembahkan oleh Explorers World Ventures sebagai pemilik festival dan platform pelancongan strategik, dengan Memories Entertainment selaku rakan festival rasmi serta kolaborator produksi.

Kedua-dua organisasi ini menyasarkan Asian Youth Festival sebagai acara tahunan ikonik yang bukan sahaja memikat golongan belia, malah menarik pengunjung yang muda jiwa, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab budaya dan pelancongan Asia.

Maklumat lanjut mengenai Asian Youth Festival 2026 akan diumumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran digital rasmi penganjur.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page