June 13, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Festival Auto & Gaya Hidup Malaysia (MALF) 2025 Sasar Lebih 15,000 Pengunjung

Spread the love

Festival Auto & Gaya Hidup Malaysia (MALF) 2025 bakal menjadi acara automotif paling meriah tahun ini dengan kombinasi kelajuan, gaya dan identiti budaya Malaysia. Bertempat di Litar Antarabangsa Sepang pada 14 dan 15 Jun ini, festival anjuran KL Works itu tampil berbeza daripada ekspo automotif biasa apabila turut meraikan semangat 1Malaysia dengan persembahan budaya tradisional pelbagai etnik utama negara.

Jon, wakil penganjur KL Works, dalam satu sidang media di Petaling Jaya hari ini berkata festival tersebut menawarkan pelbagai tarikan menarik termasuk demonstrasi drift yang memukau, pameran kereta retro, serta perhimpunan kelab kereta terbesar di Malaysia dengan lebih 800 buah kereta dipamerkan.

“Pengunjung juga berpeluang menikmati hari litar rasmi, aksi demonstrasi oleh pemandu legenda serta akses eksklusif ke kawasan pit,” jelasnya.

Selain acara permotoran, MALF 2025 turut memeriahkan suasana dengan persembahan budaya dinamik termasuk tarian etnik pribumi Borneo, bazaar makanan yang menampilkan kepelbagaian cita rasa tempatan, serta zon khas untuk kanak-kanak dan wanita—lengkap dengan perkhidmatan urutan dan penjagaan kuku.

“Kami mensasarkan kehadiran lebih 15,000 pengunjung sepanjang dua hari festival ini berlangsung. Dengan kemasukan adalah percuma, saya percaya sasaran ini mampu dicapai,” tambah Jon lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif KL Works dan penganjur utama MALF 2025, Malcolm Khoo pula menyifatkan festival ini sebagai cerminan sebenar masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, bertenaga dan progresif.

“Festival MALF 2025 ini meraikan semua rakyat Malaysia. Kami amat berbesar hati untuk menganjurkannya dan menjadikannya platform inklusif bagi semua lapisan masyarakat,” ujar beliau.

Dengan penyertaan yang semakin meluas dari negara serantau seperti Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia, MALF 2025 semakin kukuh sebagai salah satu acara gaya hidup dan permotoran paling meriah di Asia Tenggara.

Bersempena sambutan Hari Bapa, hujung minggu ini dijangka menjadi detik istimewa untuk seisi keluarga. Selain aktiviti utama, pengunjung juga boleh menikmati program tambahan seperti Auto Icons Show, Festival Motosikal dan Larian Kopi.

Untuk maklumat terkini dan sorotan menarik sepanjang festival, ikuti laman rasmi media sosial di Instagram dan Facebook menerusi @malfestivalmy.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page