October 23, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Fenomena Samurai: Pertemuan Dua Legenda di Panggung Sarawak

Spread the love

Bayangkan dua kuasa besar rock tanah air, Search dan XPDC, berdiri atas satu pentas dengan ribuan peminat yang bersorak. Itulah yang bakal terjadi pada 13 Disember 2025 di Stadium Sarawak menerusi konsert mega yang diberi nama Fenomena Samurai.

Dianjurkan oleh Seri Simfoni Sdn. Bhd. bersama Bintang Batu Event, konsert ini dijanjikan menjadi antara persembahan paling ikonik tahun 2025 dengan sokongan Rampage Studioworks dan penaja utama Yellowhello. Fokus penganjur? Mutu bunyi mantap, lighting gempak, dan vibe produksi kelas A.

Search kali ini tampil dengan gandingan mantap Din dan Kid yang terus setia menjaga roh kumpulan legenda ini. Menariknya, mereka hadir dengan vokalis muda, yang dianggap cukup berkaliber untuk menggalas tugas besar.

“Pasya mempunyai lenggok suara dan daya tahan yang baik. Malah, senang untuk kami bekerjasama dengan dia. Janji penyanyi itu sesuai, boleh bawa lagu dengan baik dan senang bekerja,” kata Din penuh yakin.

Kid pula menyifatkan aura Pasya sebagai “tenaga segar” yang akan menghidupkan semula nostalgia Search sambil memberi warna baru untuk generasi muda.

XPDC pula hadir dengan barisan kental Izo, Lola, Eddie, Arif dan Mamu. Mereka janji takkan kompromi bila bercakap soal persembahan. Malam itu, XPDC sudah menyiapkan segmen medley, tribute khas, dan lagu-lagu yang peminat dah lama tunggu.

“Kami mahu konsert ini benar-benar jadi malam untuk peminat, jadi kami bawa lagu-lagu yang mereka rindukan, termasuk karya yang jarang kami persembahkan secara langsung,” kata anggota XPDC penuh semangat.

Nama konsert ini memang kena. “Fenomena” sinonim dengan album Search yang meledak pada era 80-an, manakala “Samurai” dah jadi lambang kekuatan XPDC. Bila dua nama ini digabungkan, hasilnya ialah sebuah persembahan yang bakal jadi momen sejarah dalam rock Malaysia.

Tiket dibahagikan kepada lima kategori – VIP, MOSH, Free Standing, Silver dan Bronze. Harga pra-jualan bermula dari RM90 (Bronze) hingga RM250 (VIP), manakala harga biasa dari RM129 hingga RM359. Semuanya boleh dibeli online sahaja.

Dengan sistem bunyi khas, pencahayaan penuh efek visual dan pentas yang dibina untuk memberi spotlight pada setiap ahli band, Fenomena Samurai dijangka bukan sekadar konsert tapi perayaan rock terbesar di Bumi Kenyalang.

Generasi lama dan baru bakal sama-sama bergoyang kepala, menyanyi sekuat hati, dan meraikan dua legenda yang telah mewarnai landskap muzik rock Malaysia


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page