“Fenomena Raya Luar Biasa 2025”, Rocketfuel Gegar Dengan 3 Lagu Raya Trending, 1.7 Bilion Strim & Tarian Tular Sedunia

Industri muzik tempatan terus bergema dengan sorakan kejayaan apabila Rocketfuel Entertainment mencipta sejarah tersendiri sempena musim Aidilfitri 2025. Tiga buah lagu raya terbitan label gergasi ini – “Meriah Lain Macam”, “Nyam Nyam Ketupat” dan “Dam Dim Dum Raya” – bukan sahaja mendominasi carta-carta utama tanah air, malah mencetus fenomena digital luar jangkaan dengan lebih 1.7 bilion strim dan tontonan di seluruh dunia.
Fenomena ini sekaligus menjadikan projek lagu raya tahun ini antara paling berjaya dalam sejarah Rocketfuel Entertainment, dan mungkin juga dalam sejarah muzik raya kontemporari Malaysia.
“Meriah Lain Macam” – Lagu Raya No.1 Malaysia & Brunei, Trending 33 Hari Berturut-Turut
Nyanyian gandingan mantap Hael Husaini dan Nadeera, lagu ciptaan Hael dan Iqie Hugh ini menjadi nadi utama kemeriahan raya 2025. Mengisahkan keterujaan sepasang suami isteri membuat persiapan pulang ke kampung, lagu ini menawan hati rakyat Malaysia dan Brunei.

Dengan lebih 16 juta tontonan YouTube dan kejayaan menakluki carta RIM (Official Malaysia Chart), Billboard Malaysia, YouTube Music Malaysia & Brunei, ia menjadi lagu No.1 selama 33 hari berturut-turut di YouTube.
“Bila saya dan Nadeera rakam lagu ini, niat kami cuma mahu kembalikan semangat raya yang ramai rindukan… Tapi sambutan yang kami terima benar-benar di luar jangkaan,” kata Hael.
“Nyam Nyam Ketupat” – Tarian Tular, Lagu Raya Paling Ceria 2025
Lagu yang memperkenalkan semangat “cute & catchy” ini mencetuskan gelombang tular apabila persembahan ceria oleh Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania dan Miss Alvy berjaya mencuri hati segenap lapisan peminat.

Dengan hampir 8 juta tontonan YouTube, ia juga berada di kedudukan Top 3 Lagu Melayu Paling Banyak Distrim di Malaysia dan lebih mengujakan, tarian rasmi lagu ini menjadi trend global apabila juara Olimpik badminton, Victor Axelsen, turut menggunakannya sebagai lagu latar TikTok di Denmark!
“Melihat orang ramai menari dan menyanyi lagu ini di media sosial adalah satu momen luar biasa buat saya,” ujar Wani Kayrie.
“Dam Dim Dum Raya” – Debut Solo Raya Nadeera Yang Sarat Makna
Sebagai penyanyi solo, Nadeera tidak terkecuali daripada bahang kejayaan apabila “Dam Dim Dum Raya” mencatat lebih 800,000 tontonan di YouTube.

Walaupun bersaing dengan banyak karya hebat, lagu ini mendapat sambutan menggalakkan dan memperlihatkan keupayaan vokal serta emosi penyanyi muda ini.
“Ini lagu raya solo pertama saya… dan sambutan yang diterima benar-benar menyentuh hati,” luah Nadeera.
Kejayaan tiga lagu ini bukan sahaja membuktikan strategi penerbitan dan promosi yang tepat oleh Rocketfuel, malah mengangkat semula status lagu raya moden sebagai hiburan rakyat yang penuh warna dan makna.

Dengan sokongan padu peminat serta barisan artis yang berbakat besar, Rocketfuel dijangka akan terus mempersembahkan lebih banyak karya ikonik untuk musim-musim perayaan akan datang.