Fazura & Syasya Rizal Meriahkan Aidilfitri dengan ‘Raya Pum Pang’

Aidilfitri tahun ini semakin ceria dengan kemunculan lagu raya baharu yang segar dan penuh semangat! Dua bintang terkenal, Fazura dan Syasya Rizal, menggabungkan bakat mereka dalam single Raya Pum Pang, sebuah lagu yang bukan sahaja rancak dan catchy tetapi juga membawa mesej kebersamaan dan kegembiraan dalam menyambut lebaran.
Lagu ini dicipta oleh Mage, Ja’a, Glowrush dan Nick Ariff serta diterbitkan oleh Universal Music Malaysia. Raya Pum Pang dilancarkan secara rasmi pada 7 Mac 2025, serentak dengan muzik video yang turut mencuri perhatian ramai. Kolaborasi ini menjadi lebih istimewa kerana ia juga melibatkan Faithful Music dan Fazura Studios.
Bagi Fazura, Raya Pum Pang bukan sekadar lagu biasa, tetapi sebuah pengalaman baharu dalam dunia muzik.

“Saya sangat teruja kerana ini kali pertama saya berduet dengan artis wanita untuk sebuah lagu raya. Lebih istimewa lagi, ia adalah projek khas untuk Aidilfitri, satu perayaan yang sangat bermakna buat kita semua,” kata Fazura.
Dia juga berharap lagu ini akan menjadi salah satu lagu wajib dimainkan setiap kali musim perayaan.
“Saya mahu lagu ini membawa kegembiraan kepada semua. Tidak kira di mana dan bagaimana kita meraikan raya, yang penting adalah menghargai masa bersama orang tersayang,” tambahnya.
Bagi Syasya Rizal, yang kini kembali ke persada muzik sebagai penyanyi solo selepas meninggalkan kumpulan Dolla, Raya Pum Pang merupakan hadiah istimewa buat peminatnya.

“Saya tahu ramai yang rindu nak dengar suara saya, jadi lagu ini adalah kejutan buat mereka. Ia bukan sahaja menyeronokkan dan ‘catchy’, tetapi juga mempunyai mesej yang menyentuh hati tentang kebersamaan ketika beraya,” ujar Syasya.
Salah satu pengalaman paling bermakna buatnya adalah ketika penggambaran muzik video lagu ini. Menariknya, Syasya perlu mengimbangi antara tugas di set dan menjaga anaknya, Yassir, yang turut berada di lokasi.
“Biasanya saya hanya perlu fokus kepada kamera, tetapi kali ini saya juga perlu pastikan Yassir selesa. Mujur dia seorang bayi yang ceria dan suka dengan suasana bising, jadi semuanya berjalan dengan lancar,” katanya sambil tersenyum.
Pada 22 Mac lalu Fazura dan Syasya Rizal mengadakan majlis berbuka puasa bersama peminat yang telah berlangsung di Sunway Putra Mall. Majlis yang dikenali sebagai ‘Pum Pang’ di mana mereka mempersembahkan lagu Raya Pum Pang secara langsung.


Fazura menyatakan bahawa beliau tidak menyangka lagu Raya Pum Pang yang dinyanyikan bersama Syasya Rizal bakal mendapat sambutan luar biasa daripada pendengar. Sehingga kini, muzik video lagu ini telah mencapai lebih daripada 1 juta tontonan di YouTube, menunjukkan penerimaan positif daripada peminat.
Kerjasama antara Fazura dan Syasya Rizal ini ternyata menghasilkan sesuatu yang unik dan menyenangkan. Syasya turut berkongsi bahawa Fazura bukan sahaja seorang mentor yang hebat, tetapi juga seorang rakan yang mesra dan kelakar.
“Saya memang risau pada awalnya, takut kalau tak serasi. Tapi bila dah mula bekerja dengan Kak Faz, saya sedar kami ada ‘chemistry’ yang sangat kuat. Dia seperti seorang kakak yang penuh kasih sayang,” kata Syasya.
Dengan muzik video yang kini melebihi 1 juta tontonan dalam masa singkat, jelas bahawa Raya Pum Pang mendapat tempat di hati peminat. Lagu ini kini boleh dinikmati di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube.