February 20, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Fazura & Fatima Satukan Kasih Dalam ‘Raya Pum Pang Lagi’

Spread the love

Kemeriahan lagu raya Raya Pum Pang kembali menyapa Syawal tahun ini menerusi versi baharu berjudul Raya Pum Pang Lagi daripada pelakon, penyanyi dan usahawan terkenal, Fazura.

Menariknya, versi kali ini hadir dengan sentuhan lebih peribadi apabila turut menampilkan anak tersayangnya, Nur Fatima Aisya, sekali gus menjadikan kolaborasi ibu dan anak itu sebagai nadi utama yang membezakan karya berkenaan daripada lagu perayaan lain di pasaran.

Menurut Fazura, idea menghasilkan versi baharu lagu terbabit tercetus secara spontan apabila melihat anaknya sering menyanyikan lagu berkenaan di rumah selepas ia dilancarkan tahun lalu.

“Sejujurnya, idea ini datang secara sangat natural. Tahun lepas bila Raya Pum Pang keluar, Fatima memang selalu ikut menyanyi sekali dekat rumah. Dia hafal lirik, siap buat gaya sendiri.

“Dari situ saya rasa, kenapa tak jadikan memori kecil itu sesuatu yang lebih bermakna? Raya Pum Pang Lagi ini bukan sekadar versi baharu, tetapi versi yang ada kenangan kami berdua sebagai ibu dan anak,” katanya.

Tambah Fazura, pembikinan lagu itu bukanlah dirancang atas faktor komersial, sebaliknya lahir daripada rasa peribadi terhadap makna Aidilfitri dan kepentingan institusi kekeluargaan.

“Momen itu memang sangat manis, sebab kami dapat tampil bersama sebagai ibu dan anak di pentas besar. Tapi lagu ini sebenarnya lahir daripada rasa peribadi saya tentang Raya dan keluarga,” katanya yang sebelum ini tampil bersama Fatima di pentas Jakel Fashion Show 2026.

Mengulas lanjut, Fazura berkata antara detik paling bermakna sepanjang proses pembikinan lagu berkenaan adalah ketika sesi rakaman di studio apabila Fatima buat pertama kali berdiri di hadapan mikrofon sebagai sebahagian daripada karya rasmi.

“Masa sesi rakaman itu memang sangat comel. Fatima nyanyi dengan penuh yakin dan bangga, macam dia betul-betul tahu dia sebahagian daripada lagu ini.

“Sebagai ibu, tengok dia berdiri depan mikrofon dengan semangat macam itu memang buat saya rasa sangat tersentuh dan emosional,” katanya.

Melalui Raya Pum Pang Lagi, Fazura berharap lagu berkenaan mampu menjadi latar kepada memori baharu yang tercipta di setiap rumah sepanjang Aidilfitri.

“Saya harap bila orang dengar lagu ini, mereka teringat rumah, gelak tawa anak-anak dan momen kecil yang mungkin selalu kita terlepas pandang.

“Raya bukan tentang baju cantik atau gambar sempurna semata-mata, tetapi tentang siapa yang ada di sebelah kita masa itu,” katanya.

Raya Pum Pang Lagi boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 20 Februari ini.

Bottom of Form


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page