Farhana Ali Angkat Asmaul Husna Dalam ‘Ramadan Is Here’
Penyanyi dan penulis lagu British, Farhana Ali, menyemarakkan kedatangan Ramadan tahun ini dengan pelancaran single terbaharunya berjudul Ramadan Is Here yang dilancarkan pada 15 Februari lalu.
Lagu berunsur kerohanian itu hadir tepat pada masanya sebagai pembuka tirai Ramadan, sekali gus menjadi naskhah yang mengajak umat Islam bermuhasabah, memperbanyakkan doa dan memperkukuhkan hubungan dengan Allah.
Farhana yang dikenali dengan suara lunak serta karya berteraskan iman, turut mencipta sejarah sebagai wanita Muslim solo pertama di United Kingdom yang pernah mengeluarkan album. Keistimewaan itu meletakkan namanya sebagai antara figura penting dalam muzik inspirasi Islam di UK.

Menariknya, “Ramadan Is Here” mengetengahkan 99 nama Allah (Asmaul Husna) sebagai inti pati utama. Menerusi lirik yang menyentuh jiwa, Farhana mengajak pendengar memohon dan berdoa dengan menyebut nama-nama Allah yang suci sepanjang bulan penuh keberkatan ini.
Antara bait yang mencuri perhatian berbunyi:
“Ask by His names, all 99 this Ramadan, Allah Al Qudoos, He will be waiting for you.”
Lirik itu membawa mesej jelas bahawa setiap doa yang dipanjatkan dengan penuh keikhlasan pasti didengari dan dirahmati.
Single berkenaan turut dilancarkan bersama video muzik yang difilemkan di London Islamic Cultural Society and Mosque (LICS). Paparan visual memperlihatkan momen ibadah yang intim dan suasana refleksi diri di dalam masjid.
Tidak hanya tertumpu pada elemen spiritual, video itu juga memaparkan detik hangat kehidupan Ramadan di rumah seperti persiapan berbuka puasa, menikmati iftar bersama keluarga serta membuat persiapan Aidilfitri.
Gabungan dua dimensi iaitu rohani dan kekeluargaa menjadikan karya ini bukan sekadar lagu, tetapi simbol penyatuan dan kasih sayang yang sinonim dengan Ramadan.
Farhana yang kini bernaung di bawah label antarabangsa Universal Music Group berkata, dia berharap lagu ini mampu menyentuh hati pendengar di seluruh dunia.
“Melalui ‘Ramadan Is Here,’ saya berharap dapat menghadirkan lagu yang menginspirasikan refleksi, keimanan dan perpaduan. Ia adalah cara muzik untuk membantu kita menyediakan hati dan rumah bagi menyambut bulan suci,” katanya.
“Ramadan Is Here” kini boleh didapati di semua platform penstriman digital utama.
