February 24, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Farahdhiya Kembali Dengan “Eh Ah! Raya”

Spread the love

Penyanyi dan pelakon versatil, Farahdhiya kembali memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini menerusi pelancaran single raya terbaharu berjudul “Eh Ah! Raya”.

Lagu berentak ceria dan rancak itu menjanjikan kemeriahan suasana lebaran bersama keluarga serta insan tersayang, sekali gus menyemarakkan lagi kehangatan Syawal.

Menampilkan gabungan elemen tradisional dan moden, “Eh Ah! Raya” hadir dengan susunan muzik segar yang mengangkat bunyi klasik seperti rebana, disulami sentuhan pop kontemporari yang dekat dengan citarasa pendengar masa kini. Lagu ini merupakan hasil kolaborasi kreatif antara Farahdhiya dan komposer prolifik, Pown Hasril.

“Eh Ah! Raya” digubah oleh Farahdhiya bersama Pown Hasril, manakala liriknya ditulis sepenuhnya oleh Farahdhiya sendiri. Lagu tersebut diterbit dan disusun oleh Pown Hasril dengan sentuhan istimewa rebana oleh Ajay Amai serta petikan gitar oleh Pown Hasril.

Vokal latar disumbangkan oleh Glowrush dan Ajay Amai, manakala kemeriahan suasana raya turut diserikan dengan suara kanak-kanak daripada Nawal Zayani dan Nawal Ariana. Proses adunan dan mastering pula disempurnakan oleh Jack Jafni bagi memastikan kualiti audio terbaik buat para pendengar.

Menurut Farahdhiya, “Eh Ah! Raya” lahir daripada rasa rindu terhadap kemeriahan Aidilfitri yang penuh warna-warni dan gelak tawa.

“Saya memang sudah lama menyimpan hasrat untuk menghasilkan lagu raya sendiri yang benar-benar mencerminkan personaliti saya iaitu ceria, sedikit ‘playful’ dan penuh semangat kekeluargaan. Lagu ini adalah gambaran suasana ketika semua orang sibuk membuat persiapan, anak-anak berlari riang dan keluarga berkumpul tanpa mengira usia,” ujarnya.

Tambah beliau, lagu tersebut diharap dapat menjadi runut bunyi wajib setiap kali menjelang Syawal.

“Saya harap bila orang dengar ‘Eh Ah! Raya’, mereka terus rasa nak balik kampung, terbayang juadah atas meja dan rasa teruja untuk menyambut raya bersama insan tersayang. Raya bukan sekadar tentang pakaian atau kuih-muih, tetapi tentang kebersamaan dan kemaafan. Itu yang saya cuba sampaikan melalui lagu ini,” katanya.

Dengan tempo rancak serta korus yang mudah diingati, “Eh Ah! Raya” diyakini mampu menjadi antara lagu raya pilihan tahun ini, bukan sahaja untuk diputarkan di radio dan platform digital, malah sesuai mengiringi pelbagai kempen, acara dan kandungan media sosial sepanjang musim perayaan.

Single “Eh Ah! Raya” terbitan Seventeen Eleven Muzik kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital utama bermula 25 Februari 2026. Muzik video rasmi lagu tersebut yang menampilkan konsep penuh warna dan elemen tradisi raya turut boleh ditonton di saluran YouTube ‘Seventeen Eleven Music’.

Dengan pelancaran single terbaharu ini, Farahdhiya sekali lagi membuktikan keupayaannya untuk terus relevan dan kreatif dalam industri muzik tempatan, sambil menghadiahkan karya yang mampu menyatukan generasi dalam satu irama – “Eh Ah! Raya!”.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page