Fairuz Syazwan Kembali Dengan Balada Emosi “Belaiaan Derita”

Penyanyi baharu yang semakin mendapat tempat di hati pendengar, Fairuz Syazwan kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul Belaian Derita, selepas kemunculan sulungnya menerusi lagu Sendirian pada tahun lalu.
Masih mengekalkan genre balada yang menjadi jiwanya, Belaian Derita merupakan ciptaan duo komposer Ary dan Harris dari kumpulan Klangit. Lagu ini dipilih sendiri oleh Fairuz kerana kekuatan emosi yang terkandung dalam liriknya, yang dekat dengan perasaannya.
“Bila saya dengar demo ni dulu, saya risau. Boleh ke saya sampaikan rasa yang saya alami kepada pendengar? Tapi bila dengar hasil akhir, Alhamdulillah… puas hati saya tak dapat digambarkan,” ujar Fairuz ketika ditemui.
Belaian Derita menceritakan tentang kepiluan dan kekecewaan seorang insan yang ditinggalkan, namun menurut Fairuz, penyampaiannya cuba lari daripada klise balada tipikal. Dengan gaya nyanyian yang lebih jujur dan ‘hidup’, Fairuz yakin lagu ini mampu membentuk identitinya sebagai penyanyi serius dalam industri.
Fairuz Syazwan mula mencipta nama pada 2024 selepas terpilih dalam ujibakat terbuka anjuran Suria Records. Single pertamanya hasil ciptaan Aepul Roza mula mendapat perhatian, terutama dalam kalangan mahasiswa. Beliau turut menyertai program Raise The Star Malaysia dan menjadi antara Top 100 peserta terbaik. Walaupun tidak mara ke peringkat seterusnya, Fairuz tidak patah semangat dan meneruskan perjuangan seninya.
Selain itu, beliau turut terlibat dalam projek lagu raya kolaborasi bersama artis-artis lain di bawah Suria Records pada Mac lalu.
Fairuz Syazwan berharap Belaian Derita akan mendapat sokongan ramai dan membuka lebih banyak ruang untuknya berkarya secara berterusan.
Single Belaian Derita kini boleh dimuat turun di iTunes dan distrim melalui platform muzik digital seperti Apple Music, Spotify, YouTube Music dan Deezer. Lagu ini turut diputarkan di saluran-saluran radio tempatan pilihan anda.