December 13, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Ezuwan Ismail Dedah Cabaran Rancang SEMBILU The Reunion

Spread the love

Dato’ Awie, Erra Fazira & Ziana Zain Satukan Nostalgia Era 90-an di Axiata Arena

Pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail, mendedahkan cabaran luar biasa di sebalik penganjuran SEMBILU The Reunion Live In Concert yang dijadual berlangsung pada 7 Februari 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Menurut Ezuwan, idea untuk merancang konsert reunion tiga figura,  Dato’ Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain  muncul dalam 100 jam sesi intensif, walaupun beliau hanya mempunyai 60 hari untuk menyiapkan segala persiapan sebelum malam persembahan.

“Saya sedar masa sangat singkat, tetapi inspirasi dan idea untuk menghidupkan semula fenomena Sembilu datang begitu pantas. Setiap detik saya gunakan sepenuhnya untuk memastikan konsert ini mencapai tahap produksi terbaik,” kata Ezuwan.

Beliau menekankan bahawa konsert ini bukan sekadar hiburan biasa, tetapi mesin masa muzik yang membangkitkan nostalgia generasi 90-an dan memberi ruang kepada generasi baharu merasai keindahan karya ikonik tanah air.

Ezuwan turut menjelaskan bahawa konsert ini dibina dengan konsep sinematik berskala besar, di mana setiap penonton akan merasai pengalaman seolah-olah berada di dalam filem Sembilu sendiri, lengkap dengan visual dramatik, pencahayaan artistik dan elemen nostalgia babak ikonik.

“Sembilu bukan sahaja mengubah landskap hiburan negara, tetapi ia juga menjadi nadi masyarakat pada zamannya. Saya mahu generasi baru merasai detik itu, manakala peminat lama dapat menghidupkan kembali memori mereka,” tambahnya.

Barisan produksi menyusun setiap segmen konsert supaya penonton seakan “ditarik” masuk ke zaman ketika poster Awie, Erra dan Ziana menghiasi bilik tidur remaja seluruh negara.

Konsert mega yang dijangka menjadi antara acara paling dinantikan tahun depan itu membawa semula fenomena filem Sembilu yang mencetuskan kegilaan luar biasa era 90-an, sekali gus menghidupkan memori cinta, air mata dan konflik yang pernah menjadi jiwa generasi remaja ketika itu.

Aubrey Suwito dilantik sebagai pengarah muzik, mengetuai gubahan semula lebih 20 lagu yang pernah menguasai radio sekitar 1990-an dan akan mengekalkan roh asal lagu-lagu tersebut, namun dengan nafas yang lebih matang dan menyentuh jiwa.

Setiap lagu dijadikan “jambatan memori” yang membawa peminat kembali kepada cinta pertama, jiwa kacau, persahabatan dan kisah remaja yang pernah menjadi sebahagian hidup mereka.

“Sembilu ialah perjalanan emosi besar dalam hidup saya. Menyanyikannya semula bersama peminat yang membesar dengan karya ini satu penghargaan besar,” ujar Dato’ Awie sewaktu sidang media pengumuman konsert berkenaan yang telah diadakan di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur pada 4 Disember lalu.

Erra Fazira pula menyifatkan bahawa konsert ini seolah-olah membuka kembali album kenangan, malah ramai masih menyimpan memori Sembilu. Konsert ini boleh disifatkan sebagai mesin waktu yang memutar kembali waktunya.

“Lagu-lagu era Sembilu ada jiwanya tersendiri. Saya tak sabar untuk mengembalikan kegemilangan itu di pentas,justeru itu saya harap peminat yang membesar dengan filem yang pernah Box Office dapat hadir suapaya kita bersama-sama mengembalikan nostalgia”, ujar Ziana Zain.

Pastinya ‘mimpi menjadi nyata’ dengan adanya SEMBILU The Reunion Live In Concert ini adalah Datuk Yusof Haslam, individu yang membawa tiga figura itu ke kancah ‘laya perak’.’.

“Saya terlebih dahulu ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ezuwan selaku penganjur yang telah membawa ‘canvas lakonan’ ke pentas rialiti.  Ianya sudah pasti bakal mengamit memori, nostalgia sewaktu kemunculan filem Sembilu ini dahulu”, ujar beliau.

“Terlalu banyak momen suka duka saya bersama Awie, Erra dan Ziana sewaktu penggambaran filem sedang berlangsung”, tambahnya.

Konsert anjuran Ideatelier merupakan projek kedua selepas kejayaan konsert Sammy Simorangkir di Zepp Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 27 Disember ini.

Tiket mula dijual pada 8 Disember 2025, jam 12 tengah hari, dengan beberapa zon bertemakan lagu popular Sembilu: Zon Pasrah – RM149, Zon Tragedi Oktober – RM249, Zon Halaman Asmara – RM289, Zon Cinta Abadi – RM349, Zon Anggapanmu – RM489, Zon Di Ambang Wati – RM689 dan Zon Premium, Zon Sembilu – RM1,389


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page