December 25, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Exists Tak Sekadar Nostalgia, ‘Premium’ Di JioSpace Jadi Bukti Kelas Sebenar”

Spread the love

Kredit Foto:  Altus Prohouse

Apabila Exists meletakkan label Premium pada sebuah konsert, ia bukan janji kosong yang digantung di poster. Ia adalah sumpah muzik. Dan pada malam Exists Premium Live @ PJ, sumpah itu dilunaskan dengan penuh maruah, emosi dan ketelitian yang hanya mampu dicapai oleh sebuah band yang telah menelan asam garam industri selama lebih tiga dekad.

Di ruang JioSpace yang intim namun berdenyut, kira-kira 900 jiwa berkumpul bukan sekadar untuk menonton persembahan, tetapi untuk menghidupkan kembali memori. Dianjurkan oleh JioBuddy dengan pengurusan Altus Prohouse, konsert ini terasa seperti sebuah pertemuan rahsia yang  eksklusif, dekat dan sarat makna.

Tanpa ucapan pembukaan yang berlebihan, Exists terus menikam perasaan penonton menerusi Mama Tolonglah Percaya dan Seperti Dulu. Dua lagu ini membuka malam dengan hentakan emosi yang tidak memberi ruang untuk bernafas. Ezad Lazim tampil dengan vokal yang tidak lagi ghairah mengejar nada tinggi, sebaliknya matang, berlapik dan penuh jiwa seakan setiap bait lahir daripada pengalaman hidup yang sebenar.

Sorakan semakin membara apabila Menantikan Saat Termampu mencetuskan koir besar, sebelum tempo diperlahankan melalui Tak Tahu Harga Cinta, Janji Padamu dan Kau Akan Pulang, segmen yang membuatkan JioSpace bertukar menjadi ruang pengakuan rindu yang kolektif.

Set akustik menjadi titik paling jujur dalam keseluruhan malam. Jangan Gentar, Langkah Seiringan dan Masih Terserlah Ayumu dipersembahkan tanpa topeng produksi berlebihan. Di sinilah Exists memperagakan kehebatan sebenar mereka dimana muzik yang berdiri kukuh walaupun dilucutkan segala perhiasan.

Namun momen paling mencuri tumpuan sudah tentu Hani Lempengnya Hangus. Judulnya santai, tetapi persembahannya sarat makna. Lagu ini menjadi ruang bermain emosi penonton ketawa, tersenyum, dan diam-diam tenggelam dalam kenangan yang pernah menjadi sebahagian hidup mereka.

Memasuki fasa seterusnya, JioSpace mula bergegar. Kembalikan Hatinya, Kapal Terbang Kertas dan Julia mengangkat tenaga konsert ke tahap baharu, dengan gitaris utama Along meminjamkan suara satu detik kecil yang memberi kesan besar, mengukuhkan ikatan antara band dan peminat.

Ledakan emosi mencapai kemuncaknya apabila Bunga, Dirantai Digelangi Rindu dan Rahsia Pohon Cemara dinyanyikan serentak oleh ratusan suara. Pada saat itu, JioSpace bukan lagi sebuah dewan tetapi ia berubah menjadi ruang ritual nostalgia, tempat kenangan lama diberi nyawa baharu.

Sebagai penutup, Mengintai Dari Tirai Kamar dan Alasanmu 2025 menjadi noktah sempurna. Versi baharu Alasanmu ini bukan sekadar kemas kini, tetapi penegasan bahawa Exists masih relevan, masih bernyawa dan masih mampu menyentuh generasi lama serta baharu.

Exists Premium Live @ PJ bukan sekadar sebuah konsert. Ia adalah pernyataan. Bahawa premium bukan soal harga tiket, tetapi soal kejujuran, mutu dan keberanian untuk menua bersama muzik tanpa mengkhianati jiwa asalnya.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page